Perolehan Aset Pertahanan Buka Ruang Pemindahan Kepakaran, Teknologi – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 20 Feb – Perolehan aset pertahanan dilihat mampu untuk membuka ruang kepada pemindahan kepakaran dan teknologi bagi memperkasa industri pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau berpeluang untuk bertemu dengan beberapa buah syarikat pembekal pertahanan milik kerajaan dari pelbagai negara ketika menghadiri International Defence Exhibition & Conference (IDEX) dan Naval Defence & Maritime Security Exhibition (NAVDEX).
“Bersempena IDEX dan NAVDEX 2025, saya berpeluang bertemu beberapa syarikat pembekal pertahanan milik kerajaan dari pelbagai negara seperti Türkiye, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Pertemuan ini membuka ruang untuk meneroka kerjasama strategik yang berasaskan teknologi.
“Syarikat-syarikat menawarkan, antara lain, pembangunan aset strategik secara bersama dan pemindahan kepakaran dan teknologi. Malaysia sendiri telah memulakan beberapa kerjasama serupa, yang memberi manfaat dari aspek pembangunan keupayaan tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perkara tersebut penting untuk meningkatkan keupayaan industri pertahanan tempatan yang menyumbang kepada jaminan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Perolehan aset pertahanan tidak sepatutnya dilihat sekadar pembelian semata-mata. Ia membuka ruang pemindahan kepakaran dan teknologi, yang cukup penting dalam memperkasakan industri pertahanan negara.
“Langkah-langkah ini penting dalam meningkatkan keupayaan industri pertahanan tempatan, seterusnya menyumbang kepada jaminan keselamatan dan kedaulatan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, beliau juga dilaporkan telah mengunjungi reruai syarikat-syarikat pertahanan tempatan dan global yang menyertai IDEX dan NAVDEX 2025 sepanjang dua hari menghadiri acara tersebut.
“Selain bertemu dengan pemimpin negara dan pemain industri pertahanan global dalam lawatan kerja saya ke UAE, saya telah berkunjung ke reruai syarikat-syarikat pertahanan tempatan dan global yang menyertai IDEX dan NAVDEX 2025 sepanjang dua hari menghadiri acara ini.
“IDEX dan NAVDEX merupakan pameran pertahanan premier yang menjadi platform global mempamerkan teknologi pertahanan terkini dan termaju. Ia juga membuka ruang dan peluang pengukuhan hubungan dan kerjasama pertahanan melibatkan pemain industri dan negara.
“Penyertaan pemain industri tempatan dan negara dalam pameran seumpama ini penting dalam usaha kita mengukuhkan keupayaan pertahanan dan meneroka kerjasama antarabangsa yang memanfaat dan mempercepat pembangunan industri pertahanan tempatan,” katanya lagi. – UMNO Online