Isu Gaza: Seluruh Negara Islam, Dunia Perlu Bersatu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Seluruh negara Islam dan dunia perlu bersatu untuk menghentikan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam membeli tanah dan mengusir penduduk Gaza.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hak penduduk Palestin di Gaza perlu dikembalikan semula agar mereka mampu hidup aman dan bebas dalam sebuah negara yang merdeka.

“Dunia pada tahun 2025 menyaksikan satu lagi episod kontroversi yang dibawa oleh Donald Trump, Presiden AS yang kembali berkuasa. Kali ini, beliau bercadang untuk membeli Gaza dan mengusir penduduknya ke Mesir serta Jordan sebagai ‘penyelesaian muktamad’ kepada konflik di Timur Tengah.

“Mesir dan Jordan telah memberi respons tegas menolak cadangan yang tidak masuk akal ini. Penyelesaian muktamad hanya satu iaitu mengembalikan semula hak penduduk Palestin di Gaza untuk hidup aman dan bebas dalam sebuah negara yang merdeka. Dunia harus mengecam cadangan yang tidak berperikemanusiaan ini dan tidak membenarkan ianya berlaku.

“Justeru, seluruh negara Islam dan dunia perlu bersatu. Isu Palestin bukan isu agama tetapi isu kemanusiaan. Saya menyeru supaya Malaysia mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan isu ini, meskipun terdapat negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera menegaskan bahawa isu ini mampu mencetuskan kemarahan global dan mengancam kestabilan geopolitik antarabangsa.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana cadangan ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan global tetapi juga mengancam kestabilan geopolitik antarabangsa.

“Kegilaan Trump dan sekutunya, Benjamin Netanyahu harus dihentikan dengan segera. Tindakan mereka ini sudah melanggar batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

“Dalam masa sama, saya turut bersetuju dengan pendirian rakan-rakan Ahli Parlimen lain supaya satu usul khas dibentangkan di Dewan mulia ini, khusus untuk membincangkan tentang kegilaan Trump dan kezaliman yang masih tiada noktah buat saudara kita di Gaza,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa perang ekonomi antara AS dan China bakal memberi gangguan kepada rantaian bekalan globa dan perdagangan antarabangsa.

“Selain itu, kehadiran semula Trump mencetuskan pelbagai tanda tanya kepada dunia. Dasar-dasar baharu Amerika Syarikat, khususnya pelaksanaan dasar perdagangan pelindungan agresif, dengan mengenakan tarif yang tinggi terhadap produk import akan turut memberikan kesan kepada Malaysia.

“Perang ekonomi antara AS dan China yang pastinya akan memberi gangguan kepada rantaian bekalan global dan perdagangan antarabangsa. Ia secara langsung memberikan impak kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung kepada sistem ekonomi terbuka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan tindakan yang akan diambil oleh Malaysia bagi mengimbangi perang ekonomi di antara dua kuasa besar.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK menurun kepada 3.8 peratus pada tahun ini berbanding 4.5 peratus pada 2024.

“Saya ingin bertanya apakah tindakan yang akan diambil oleh Malaysia bagi mengimbangi perang ekonomi di antara dua kuasa besar ini kerana kedua-duanya adalah rakan dagang utama negara?

“Dalam masa yang sama, pertembungan dua kuasa ini juga melibatkan soal keselamatan di rantau Asia Tenggara khususnya melibatkan Laut China Selatan. Jadi, apakah tindakan yang bakal diambil oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN bagi menentukan hala tuju soal keselamatan di rantau ini?” soalnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit