KKR Komited Pastikan Projek Dan Infra Sabah Dilaksanakan Dengan Kadar Segera – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan sehingga tahun 2024 dan 2025, sebanyak 26 projek dan infra untuk negeri Sabah telah diluluskan dengan kos tahun ini sebanyak RM1.59 bilion dan keseluruhan kos bernilai RM18.62 bilion.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat pelaksanaan projek iaitu di perancangan, perolehan dan pembinaan.
Antara projek-projek jalan dan infra tersebut seperti menaik taraf jambatan, pembetung, pembinaan jalan baharu, kerja awalan penyediaan rekabentuk serta Lebuhraya Pan Borneo.
“Selain itu, KKR dan Jabatan Kerja Raya juga mengendalikan projek-projek kementerian pelanggan terutamanya pembinaan bangunan seperti ringkasan untuk 2024 sehingga 2025 pra pembinaan 54 projek (RM5.13 bilion), dalam pembinaan 106 projek (RM3.14 bilion) jumlah keseluruhan 160 projek bangunan (RM8.27 bilion).
“KKR menghargai kegusaran mengenai isu kelewatan pelaksanaan dan penyiapan projek – projek yang sedang berlaku di Negeri Sabah.
“KKR dengan kerjasama agensi pelaksana (JKR Malaysia dan JKR Negeri Sabah), amat komited dalam memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.
Ahmad Maslan berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna-Warisan) yang minta menyatakan jumlah projek infrastruktur baharu yang akan dilaksanakan mengikut jenis dan kos bagi tahun 2025 di Sabah dan langkah yang diambil bagi memastikan projek-projek ini dapat dimulakan pada tahun semasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan turut sama memaklumkan strategi yang digunakan bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan segera iaitu melalui pelaksanaan kerja-kerja awalan, ianya akan merangkumi kerja-kerja berkaitan kajian teknikal, rekabentuk dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan.
Katanya setelah kerja awalan ini berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya, maka projek tersebut akan diteruskan pada peringkat pembinaan.
“Selain daripada itu, KKR juga telah menubuhkan Jawankuasa Pemandu khususnya untuk Projek Pan Borneo Negeri Sabah yang sedang dalam pelaksaan bertujuan menangani menangani isu-isu yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan dan penyiapan projek.
“Jawatankuasa pemandu ini terdiri daripada agensi-agensi pusat dan agensi negeri contohnya yang dianggotai oleh KKR, JKR Negeri Sabah, ICU JPM, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah, Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah.
“Selain itu, kerjasama daripada pihak syarikat penyedia utiliti di negeri Sabah juga diperlukan bagi memastikan kelancaran projek-projek pembangunan yang diluluskan ini.
“Kelewatan pengalihan kabel/paip utiliti ini merupakan salah satu faktor penyumbang terhadap kelewatan dan kita akan memastikan kelancaran projek ini dengan segera,” ujar beliau. – UMNO Online