Perbicaraan SRC: Saksi Sahkan Najib Razak Bijak Tangani Isu Kerajaan Dan Korporat – Shahrul Fazli
KUALA LUMPUR, 23 Jan – Perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) terhadap UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor (UMNO Selangor) dengan saksi kedua plaintif Datuk Suboh Md Yassin berlangsung semalam.
Menurut Peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata saksi SRC International Sdn Bhd telah memaklumkan kepada Mahkamah bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah melantik beliau sebagai pengarah kepada SRC.
Katanya, semasa pemeriksaan balas oleh peguam UMNO, Shahrul Fazli, saksi SRC, Suboh Yassin mengesahkan bahawa beliau berasa sangat berbesar hati dengan pelantikan berkenaan kerana dapat kembali berkhidmat kepada kerajaan.
“Saksi SRC, Datuk Suboh Yassin juga semasa pemeriksaan balas memaklumkan bahawa beliau pernah bekerja dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Sepanjang pengalaman beliau (saksi) dengan Najib Razak, memaklumkan bahawa beliau adalah seorang yang bijak, berpengetahuan dan ikhlas dalam menangani isu-isu berkaitan kerja.
“Beliau bersetuju dan mengesahkan bahawa penglibatan Najib Razak di dalam SRC adalah atas kapasiti rasmi beliau sebagai wakil korporat dan Menteri Kewangan yang bertanggungjawab atas Menteri Kewangan diperbadankan,” katanya menerusi satu hantaran kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, kata Shahrul, saksi mengesahkan Najib Razak adalah Perdana Menteri yang diberi kuasa dan kedudukan selaku ‘Penasihat Emeritus’ menurut perlembagaan syarikat yang mana adalah dalam kapasiti rasmi beliau.
“Atas kapasiti rasmi saksi bersetuju dan mengesahkan bahawa resolusi-resolusi dan dokumen-dokumen melibatkan SRC yang ditandatangan oleh Najib Razak adalah dalam perjalanan biasa urusan perniagaan (ordinary course of business) dan teratur,” katanya lagi.
Terdahulu, peguam SRC dalam pernyataan pembukaannya berkata, Najib Razak ialah ‘Pengarah Bayangan’ SRC yang mana telah disangkal oleh saksi SRC.
Selanjutnya, semasa pemeriksaan balas oleh peguam UMNO, Shahrul Fazli menjelaskan bahawa saksi SRC International Sdn Bhd memaklumkan kepada Mahkamah bahawa beliau tidak meragui keputusan Najib Razak dan melaksanakan arahan atau nasihat yang diberikan dengan kepercayaan ianya telah dipertimbangkan dengan sewajarnya (utmost diligence) dan demi kepentingan syarikat.
“Lanjutan itu, saksi juga bersetuju dan mengesahkan bahawa lembaga pengarah SRC pada kebiasaanya akan bermesyuarat mempertimbangkan sebarang perkara yang diusul dan kemudiannya diputuskan atau dipersetujui diperingkat lembaga pengarah.
“Saksi SRC juga mengesahkan bahawa perlaksanaan fungsi-fungsinya sebagai pengarah SRC bukan tindakan ‘rubber stamping’,” ujarnya.
Perbicaraan tindakan tuntutan ini dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Yang Arif Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dan ditangguhkan ke tarikh selanjutnya pada 23 Jan ini. – UMNO Online