Jangan Politikkan Titah Adendum, Mohon Najib Dapat Keadilan Sewajarnya – UMNO Siswa UniMAP
KUALA LUMPUR, 31 Dis – UMNO Siswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berharap semua pihak untuk rasional dan permohonan tahanan rumah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dipolitikkan bagi memberikan keadilan sewajarnya terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.
Mereka juga menggesa agar setiap lunas undang-undang dan peruntukan Perlembagaan dijunjung dan diangkat oleh setiap peringkat rakyat Malaysia serta jentera pentadbiran.
“Sepatutnya isu ini tidak dipolitikkan. UMNO Siswa UniMAP sebagai antara suara mahasiswa sedang melihat secara rapat keadaan ini dan menilai tahap jentera kerajaan hari ini sama ada badan eksekutif mahupun badan kehakiman untuk menyelesaikan keadaan ini.
“Dalam kata lain, kredibiliti kedua-dua badan ini sedang diperhatikan oleh generasi baharu.
“UMNO Siswa UniMAP menggesa agar setiap lunas undang-undang dan peruntukan Perlembagaan seharusnya dijunjung dan diangkat oleh setiap peringkat rakyat Malaysia serta jentera pentadbirannya dan bukannya dilacurkan sesuka hati oleh mana-mana pihak,” katanya.
Di samping itu mereka juga menyatakan pendirian menyokong teguh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkenaan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara berkenaan permohonan tahanan rumah.
Kata mereka lagi, rakyat Malaysia perlu menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan seharusnya seluruh jentera kerajaan akur dengan lunas undang-undang terutamanya dalam kes berkaitan titah adendum berkaitan tahanan rumah kepada Najib Razak.
“Sebagai rakyat Malaysia, beliau juga mempunyai hak untuk menerima pengampunan mahupun peredaan hukuman yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa untuk mengampun, menunda dan melegakan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja atau Yang Dipertua Negeri memiliki kuasa sama bagi kesalahan yang dilakukan di negerinya.
“Hal ini dinyatakan dalam peruntukan di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan: Mengikut Perkara 42 (2), tertakluk kepada Fasal (10) dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri bagi meremit, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan boleh dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah tentera atau mahkamah sivil dalam Wilayah Persekutuan dan kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri tempat kesalahan itu dilakukan,” katanya. – UMNO Online