“Alasan Terlepas Pandang, Mainkan Api Kemarahan Rakyat Tidak Boleh Dimaafkan” – Lassim
KUALA LUMPUR, 27 Dis – Ketua UMNO Bahagian Sri Gading Datuk Mohd Lassim Burhan menempelak penganjur Karnival Lampu LED kerana mencabar sensitiviti, mencetus provokasi perkauman dan tidak patriotik.
Tindakan sebegitu juga ujarnya memperlihatkan sikap pihak yang terlibat sebagai biadap dan mencabar pihak berkuasa.
“Alasan terlepas pandang dan memainkan api kemarahan rakyat tidak boleh dimaafkan kerana telah berlaku kes yang hampir serupa di Teluk Intan beberapa bulan lepas.
“Bendera China pada replika roket di Karnival Lampu LED Gambir menunjukkan sikap biadap dan mencabar pihak berkuasa oleh penganjur dan mereka yang terlibat,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Ulasnya lagi, Karnival Lampu LED yang berlangsung di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di Tangkak, Johor itu wajib dihentikan serta merta dan disiasat di bawah Akta Hasutan.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir Sahrihan Jani dalam satu kenyataan turut melahirkan perasaan ketidakpuasan masyarakat setempat mengenai perkara berkaitan.
Sahrihan berkata tindakan tegas perlu diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur serta penutupan operasi karnival dengan serta-merta dan sebarang permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan yang dilakukan itu.
Katanya, beliau sudah berhubung dengan Majlis Daerah Tangkak (MDT) sejak awal isu itu tular bagi menyuarakan kebimbangan terhadap perkara ini yang boleh mencetuskan kegelisahan masyarakat.
Terdahulu sebelum itu, Pemuda UMNO Bahagian Ledang telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bukit Gambir terhadap isu berkenaan dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap penganjur festival agar perkara sedemikian tidak berulang.
Dalam perkembangan yang sama, dilaporkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan susulan isu tersebut.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terkini dilaporkan MDT telah mengarahkan Festival Lampu LED itu dihentikan serta-merta.
Malah, struktur roket tertera bendera China itu juga sudah diturunkan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan susulan aduan penduduk.
Manakala berkaitan dengan insiden di Teluk Intan, Perak pada Oktober lalu, pihak polis mengesahkan penganjur perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan yang terbabit dalam insiden mempamerkan bendera China yang tular di media sosial, melanggar syarat permit. – UMNO ONLINE