Mencari Pahala Menerusi Politik Islam Dalam Neraca Malaysia

POLITIK Islam sebagaimana dihuraikan oleh para ulama bermaksud mengurus dan mentadbir negara yang boleh mendatangkan maslahah dan kebaikan untuk rakyat.

Melantik seorang pemerintah yang menjalankan fungsi pentadbiran ini adalah Fardhu Kifayah dengan maksud hendaklah ditunaikan oleh sebahagian agar terangkat dosa daripada seluruh umat Islam.

Dalilnya ialah tindakan para Sahabat yang segera memilih dan melantik Abu Bakar al-Siddiq radiyallahi anhu sebagai Khalifah Islam pertama sebaik kewafatan Nabi (SAW) bagi tujuan menggantikan baginda sebagai pemerintah Madinah.

2. Dalam konteks Malaysia, politik Islam perlu dicermati dengan memahami kerangka pemerintahan dan pentadbiran negara. Ketua Negara ialah Yang di-Pertuan (YDP) Agong yang dipilih dan dilantik di kalangan sembilan Raja-raja Melayu. Ketua bagi sembilan Negeri Melayu pula ialah Sultan dan Raja yang dipilih serta dilantik secara kaedah pewarisan takhta. Ketua bagi empat negeri lain pula ialah YDP Negeri yang dilantik oleh YDP Agong.

3. Dengan itu, Fardhu Kifayah bagi melantik pemerintah bagi Malaysia dan Negeri-negeri telah tertunai dan tidak akan terputus menurut kaedah pemilihan dan pelantikan YDP Agong, Raja-raja dan YDP Negeri.

Maka terangkatlah dosa umat Islam daripada sunyinya negara daripada seorang pemerintah. Mereka inilah Ulul Amri (pemilik perintah) yang wajib ditaati oleh semua rakyat menurut hukum Syarak sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nisa: 59 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman. Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan Ulil Amri kalangan kamu.”

4. Bagi menguruskan pentadbiran pula dilantik ketua kerajaan yang menjalankan kuasa bagi pihak Ketua Negara dan Negeri dipanggil Perdana Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Mereka dilantik di kalangan rakyat yang dipilih dalam pilihanraya sebagai ketua kerajaan oleh YDP Agong, Raja-raja Melayu dan YDP Negeri selaku ketua negara dan negeri.

5. Namun, dalam setengah keadaan YDP Agong boleh melantik bukan di kalangan rakyat yang dipilih dalam pilihan raya bagi mengetuai pentadbiran termasuk ketika situasi dharurat di mana Parlimen digantung. Malah di setengah negeri Raja dan Sultan boleh melantik bukan di kalangan wakil rakyat untuk mengetuai pentadbiran kerajaan.

6. Justeru, dengan memahami kaedah pentadbiran menurut perlembagaan ini maka hukum pilihan raya di Malaysia adalah harus pada hukum Syarak bukannya Fardhu Kifayah atau Fardhu Ain. Malah pilihan raya boleh digantung oleh Ketua Negara atau Negeri pada setengah keadaan dan di saat itu kuasa pentadbiran boleh terus berfungsi bukan di kalangan wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

7. Adapun tugasan rakyat dalam pilihan raya ialah memilih seseorang yang boleh diberi peluang mengetuai kerajaan atau membantu dalam kerajaan sebagai menteri atau exco. Ketika memilih seseorang perlu membuat pertimbangan antara maslahah atau mudharat pada negara dan rakyat dalam menilai siapa yang patut diundi dalam pilihan raya berdasarkan rekod dan manifesto yang dijanjikan.

8. Setiap orang yang mengundi diberikan pahala atas niat memilih seorang yang baik menjadi kerajaan. Juga diberi pahala atas sangka baiknya seseorang yang diundi boleh melakukan kebaikan.

Malah, jika tersilap dalam memilih tiada dosa yang ditanggung kerana memilih adalah ijtihad pengundi berdasarkan pertimbangan semasa ketika belum berkuasa. Tiada dosa ditanggung oleh pengundi atas kesalahan pemimpin setelah mendapat kuasa berdasarkan kaedah:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ
“dan tiada menanggung seorang pesalah dosa pesalah lain.”
(Surah Fatir: 18)

Tetapi mengundi dengan tujuan menegakkan kebatilan yang jelas batil atau kerosakan yang jelas merosakkan tentu sahaja berdosa.

9. Rakyat memilih siapa yang “Aslah” lebih baik di kalangan yang “Solih” yang baik atau menolak mana yang diyakini atau berat sangkanya memudharatkan. Hal ini berdasarkan kaedah:
تصرف الإمام منوط بالمصلحة
“tindak-tanduk pemerintah berlegar pada maslahah kebaikan.”
Juga berdasarkan kaedah:
لا ضرر ولا ضرار
“tiada mudharat dan tiada memudharatkan.”

Tetapi sekiranya terpilih yang “mafdhul” “kurang baik” masih lagi sah pada hukum Syarak. Malah, jika terpilih seseorang yang memudharatkan maka terserah pada budi bicara Ketua Negara dan Negeri sebagai pemerintah Islam dengan nasihat para alim ulama di kalangan para mufti dan lainnya untuk mempertimbangkan kaedah menolak kemudharatan.

10. Difahami disini juga keterlibatan individu rakyat dalam pilihan raya di Malaysia masih berlegar pada hukum harus bukannya Fardhu Kifayah atau Fardhu Aini. Sekiranya terpilih seseorang yang mungkin memudharatkan negara masih ada benteng YDP Agong dan Raja-raja Melayu untuk mempertimbangkan berdasarkan kuasa yang ada bagi menolak mudharat tersebut dengan nasihat para alim ulama, para pentadbir di kalangan pegawai kerajaan dan cendekiawan negara.

11. Namun, keterlibatan rakyat dengan politik sama ada dalam mengkritik dan memberi pandangan terhadap polisi pentadbiran atau keterlibatan terus menerusi parti politik adalah sesuatu yang sunat muakkadah diberikan pahala. Ia berdasarkan kaedah dakwah, kaedah amar ma’ruf dan nahi mungkar dan kaedah menasihat dalam Islam yang sabit dalam banyak ayat al-Quran dan al-Hadis sama ada ia dilakukan secara individu mahupun kelompok.

12. Dalam mencari pahala ini pula perlu dielakkan perkara yang mendatangkan dosa seperti tindakan yang boleh memecah-belahkan rakyat, menghasut dan mengadu domba. Atau bertindak dengan akhlak buruk seperti maki hamun, mencela, menghina dan merendah-rendahkan sesama muslim dan sesama rakyat. Kemungkaran tidak boleh dihilangkan dengan melakukan satu kemungkaran yang lain sebagaimana kaedah syarak.

13. Carilah pahala dengan berpolitik dan elakkan dosa dalam berpolitik.

Datuk Wira Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Timbalan Pengerusi,
Majlis Ulama UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit