Pencemaran Air Tidak Berkesudahan… Pindaan Tambah Baik Akta Amat Bertepatan
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berpandangan industri air terus menghadapi pelbagai isu dan cabaran terutama berkaitan pencemaran yang disifatkannya sebagai tidak berkesudahan.
Menurut beliau ini kerana sehingga ke hari ini, Malaysia masih berdepan dengan polemik isu gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku akibat pencemaran sehingga menjejaskan rutin harian jutaan pengguna.
“Hari demi hari, ada sahaja kes pencemaran sumber air mentah berlaku di seluruh negara sehingga menjejaskan bekalan air bersih sekali gus mumadaratkan kesihatan dan membahayakan nyawa rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan Rang Undang-undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.
Adnan dalam pada itu turut menyoroti beberapa kes membabitkan pencemaran yang berlaku sebelum ini.
“Bulan lalu, Indah Water Konsortium (IWK) mengesan pelepasan efluen minyak dan gris berlebihan ke dalam sistem saluran pembetungan awam di Puncak Alam namun tidak diketahui punca.
“Tahun lalu, tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa berjadual mengakibatkan sebahagian besar penduduk Port Dickson mengalami gangguan bekalan air kerana LRA (Loji Rawatan Air) Sungai Linggi terpaksa dihentikan disebabkan air yang diproses berbau diesel.
“Pada Disember 2022 pula, LRA Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau sehingga tahap empat TON (ukuran kadar bau) yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir, Dengkil,” ujar beliau.
Menurutnya, pindaan untuk menambah baik akta ini adalah bertepatan dan sudah tiba pada masanya supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini dihukum sekeras-kerasnya.
Katanya lagi, hukuman sedia ada sebelum ini yang terlalu rendah tidak menimbulkan rasa takut kepada pengilang-pengilang dan individu yang tidak bertanggungjawab.
“Pindaan seksyen 61 yang memperuntukkan larangan melepaskan sebarang efluen terlarang bukan sahaja ke dalam pembetung awam tetapi juga pembetung persendirian dan tangki septik yang boleh menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan pembetungan.
“Peruntukan ini juga akan menaikkan hukuman sebanyak 10 kali ganda berbanding hukuman asal iaitu daripada denda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya kepada denda tidak melebihi RM1,000,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
“Peningkatan hukuman sebanyak 10 kali ganda ini membuktikan komitmen kerajaan untuk menjamin kualiti perkhidmatan air negara serta menunjukkan ketegasan kerajaan untuk menghukum dan memberikan pengajaran yang sepatutnya kepada pesalah,” katanya. – UMNO Online