Dosa Fitnah Sebaris Dengan Dosa Syirik, Mencuri, Berzina Dan Membunuh
MEMOHON maaf atas kesilapan sifat mulia seorang insan yang lemah tetapi apabila berlaku berulang kali kesilapan yang sama dan dibuat permohonan maaf ia menunjukkan kecuaian dan keterbiasaan atau normalisasi.
Apatah lagi apabila melibatkan ungkapan fitnah atau mereka-reka cerita yang ditaburkan pada khalayak. Maaf boleh diminta tetapi kesan fitnah telah berleluasa berpindah dari mulut ke mulut dan telah masuk ke benak fikiran ramai manusia. Ibarat bulu ayam yang ditaburkan sepanjang jalan tidak akan mampu dikutip balik semuanya.
Berbeza dalam berpolitik itu biasa saja sudah lumrah tetapi etika bercakap hanya yang benar sahaja selepas dipastikan kebenaran adalah akhlak seorang muslim dan akhlak seorang politikus muslim. Jika Islam adalah perjuangan kita maka akhlak Islamlah junjungan kita.
Fitnah dan mereka-reka cerita adalah dosa yang sangat besar yang dijadikan intipati akujanji Baiah Aqabah yang dituntut oleh Rasulullah (SAW) daripada para Sahabat sebelum Hijrah. Dalam Hadis Bukhari Nabi (SAW) bersabda:
بايعوني على أن لا تشركوا بالله شيئًا، ولا تسرقوا، ولا تزنوا، ولا تقتلوا أولادكم، ولا تأتوا ببهتان تفترونه بين أيديكم وأرجلكم،
“Berbaiahlah kamu denganku untuk kamu tidak syirikkan Allah dengan sesuatu, kamu tidak mencuri, kamu tidak berzina, kamu tidak membunuh anak-anak kamu dan kamu tidak mendatangkan ‘BUHTAN’ (fitnah cerita bohong) yang kamu reka cipta di khalayak kamu.”
Lihatlah Baginda (SAW) meletakkan dosa fitnah cerita rekaan sebaris dengan dosa syirik, dosa mencuri, berzina dan membunuh anak.
Kata Imam Qurtubi, ‘buhtan’ ialah kamu hadapi saudaramu dengan tuduhan dosa yang dia tidak lakukan.
Dosa ‘buhtan’ menggabungkan tiga dosa iaitu dosa berbohong, dosa mereka-reka cerita dan dosa menuduh secara palsu.
Asal kalimah ‘buhtan’ bermaksud dahsyat. Oleh kerana itu, ‘buhtan’ adalah perkhabaran yang direka-reka menimbulkan perasaan kehairanan, rasa dahsyat dan mengejutkan di hati pendengar.
Berita dahsyat bersifat pembohongan dan fitnah telah menggegarkan keluarga Rasulullah (SAW) melibatkan Aisyah radiyallahu anha yang digelar ‘peristiwa rekaan cerita palsu’ ( حادثة الإفك ) sehingga turun ayat dalam surah al-Nur membersihkan nama Aisyah lalu turun hukum jenayah Hudud Qazaf tuduhan zina yang menyebabkan 3 sahabat disebat 100 rotan.
قال الفضيل بن عياض : في آخر الزمان قوم بَّهاتون، عيَّابون، فاحذروهم؛ فإنهم شرار الخلق، ليس في قلوبهم نور الإسلام، لا يرتفع لهم إلى الله عمل .
Kata tokoh ulama Fudhail bin ‘Iyadh: “di akhir zaman terdapat satu kaum melakukan ‘buhtan’ mereka-reka cerita dan mengaibkan mencela orang lain. Maka berawaslah terhadap mereka kerana mereka adalah sejahat-jahat makhluk. Tiada dalam hati mereka cahaya Islam. Tidak terangkat bagi mereka kepada Allah sebarang amal.”
Tentunya berita dahsyat ini menjadi modal orang politik yang tidak beragama kerana ia menarik perhatian ramai dan kebencian dahsyat terhadap lawan politik.
Sebagai ahli politik Islam saya menyeru semua rakan politik menyedari besarnya dosa fitnah dan ‘buhtan’. Ia bukannya dosa kecil.
Kebencian pada satu kaum hendaklah tidak membawa kita berlaku tidak adil sebagaimana saranan Allah kepada mukmin dalam surah al-Maidah: 8:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang beriman. Jadilah kamu orang-orang yang menegakkan (keadilan) bagi Allah, menjadi saksi-saksi atas pembahagian adil. Dan janganlah kebencian kamu pada satu-satu kaum membawa kamu melakukan jenayah tidak berlaku adil. Berlaku adillah. Ia lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha pakar dengan apa yang kamu sedang kerjakan.”
Kebencian dalam politik tidak wajar mendorong perlakuan fitnah mereka-reka cerita terhadap lawan. Pastikan dahulu kebenaran barulah diperkatakan sebagai modal tulisan atau ceramah politik agar para pengikut tidak turut terpalit dengan dosa fitnah mereka-reka cerita.
Malah berpada-padalah membenci kerana orang yang dibenci mungkin menjadi kekasih suatu hari nanti sepertimana kata Sayyidina Ali.
Dan sejarah 67 tahun politik di Malaysia menyaksikan musuh yang dibenci menjadi kawan dan sebaliknya. Tiada parti politik di Malaysia yang tidak pernah bersama menyulam kasih ketika berpakat politik. Maka berpada-padalah membenci.
Datuk Wira Dr Khairuddin Takiri
Timbalan Pengerusi
Majlis Ulama UMNO Malaysia