Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 Tingkat Soal Keselamatan – Shamsulkahar

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berpandangan Akta Keselamatan dalam Talian 2024 adalah bertujuan untuk meningkatkan dan mengalakkan keselamatan dalam talian dengan mengawal selia kandungan memudaratkan.

Katanya, ini adalah usaha yang wajar dalam meletakkan akauntabiliti dan tanggungjawab kepada syarikat pemberi perkhidmatan aplikasi dan kandungan atas talian supaya memantau sebarang kandungan memudaratkan.

Jelasnya, merujuk Seksyen 18 yang memperuntukkan kewajipan kepada pemberi perkhidmatan aplikasi dan kandungan berlesen untuk melindungi keselamatan dalam talian bagi pengguna kanak-kanak.

“Praktis ini memang sudah menjadi terma dan syarat aplikasi seperti Tik Tok dan Instagram yang mana ianya hanya boleh didaftar dan diakses oleh pengguna berumur 13 tahun ke atas. Bagaimanakah kerajaaan boleh menguatkuasakan peruntukkan ini, sedangkan kita boleh lihat masih ramai di kalangan pengguna aplikasi seperti TikTok & Instagram adalah kanak-kanak bawah umur 13 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024, di Parlimen hari ini.

Jelasnya lagi, kini terdapat trend baru iaitu golongan tidak bertanggungjawab menjual kandungan lucah dengan menawarkan akses melalui aplikasi ‘group Telegram’ tertutup dan apabila bayaran dibuat, pelanggan diberikan akses untuk menonton kandungan lucah yang pelbagai dalam group esklusif tersebut.

“Ada juga golongan ‘scammer’ yang secara tiba-tiba memasukkan akaun Telegram pengguna kepada graoup Telegram scam melibatkan pelaburan saham yang tidak wujud dengan niat memperdaya pengguna tersebut. Banyak laporan berkenaan sindiket pemerasan video lucah menggunakan aplikasi komunikasi seperti Telegram, Michat, Wechat dan sebagainya.

“Seksyen 2 (2) dan 2 (3) yang memperuntukkan bahawa akta ini tidak terpakai bagi ciri-ciri pesanan peribadi termasuk kepada sebilangan penerima yang khusus dan terhad dalam apa-apa perkhidmatan aplikasi dan aplikasi kandungan.

“Adakah akta ini tidak terpakai kepada penyedia aplikasi seperti Telegram, Michat, Wechat dan sebagainya, sedangkan banyak isu berkenaan kandungan memudaratkan wujud dalam aplikasi ini,” katanya lagi. Persoalannya, apakah tindakan selanjutnya pihak Kerajaan dalam mengawal selia dan membasmi kandungan berunsur lucah dan fraud kewangan (scam) serta memudaratkan dalam aplikasi komunikasi ini tadi?,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.