Kewangan Islam Dan Hala Tuju Industri Halal di Malaysia Terus Diperkasakan
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi (JKPK), Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pembentangan penyata dan sesi penerangan semalam, merupakan inisiatif yang diharapkan dapat membantu memperkasakan perkembangan kewangan Islam dan hala tuju industri Halal di Malaysia, seterusnya meningkatkan daya saing negara pada peringkat antarabangsa.
Menurut beliau dalam usaha untuk terus memacu hala tuju industri Halal negara, JKPK mengemukakan beberapa syor dalam usaha memastikan negara meraih dan mendapat kesan yang positif.
“Pertamanya segala Free Trade Agreement (FTA) dan perjanjian perdagangan yang sedang dirundingkan antara Malaysia dan negara-negara lain, haruslah memastikan Malaysia meraih kesan positif dan mendapat manfaat berdasarkan kelebihan dan keunikan ekosistem Industri Halal negara.
“Kedua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disarankan untuk memanfaatkan keupayaan yang dimiliki untuk membantu pemain industri melalui JAKIM dan HDC, dalam mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan produk dan perkhidmatan industri Halal.
“Ketiga sesi libat urus yang berterusan bersama badan legislatif, bagi memaklumkan perkembangan terkini serta cabaran yang dihadapi dari semasa ke semasa, sepanjang tempoh pelaksanaan HIMP 2030. Seterusnya peluang pembangunan industri baharu dalam sub sektor Halal, haruslah menyeluruh dan tidak tertumpu kepada sesetengah negeri atau kawasan tertentu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika memberikan berkaitan penyata jawatankuasa berhubung perkembangan kewangan islam dan hala tuju industri halal di Malaysia, semalam.
Beliau seterusnya memaklumkan JKPK telah mengadakan beberapa siri lawatan ke luar negara pada tahun 2024 dan antara dapatan penting (key take-aways) daripada lawatan kerja tersebut ialah potensi antara Kerajaan ke Kerajaan atau Government to Government (G2G) dalam bidang kewangan Islam (Islamic finance), yang saling terkait dengan potensi pasaran yang sangat besar kepada Malaysia dalam mempromosikan produk Halal, dan kepakaran pensijilan Halal yang dimiliki.
Apatah lagi kata beliau pada tahun hadapan kepengerusian Asean diterajui oleh Malaysia dan ini adalah peluang untuk negara.
“Sehubungan itu, JKPK telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan agenda, serta perkembangan untuk memperluaskan lagi kewangan Islam di Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.
“Perbincangan ini juga secara tidak langsung menyentuh mengenai Pelan Sektor Kewangan Tahun 2022 hingga 2026, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM),” ujarnya. – UMNO Online