Dasar Kerajaan Lebih Insani, Tidak Halang Pendaftaran Pengajian Atas Faktor Kemiskinan – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan bertindak lebih proaktif dan lebih insani sifatnya bagi memastikan pembayaran yuran kemasukan pengajian dan tidak menghalang pendaftaran mereka disebabkan oleh faktor kemiskinan.
Menurut beliau dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan juga dasar Kerajaan Madani adalah untuk membantu golongan pelajar daripada kalangan B40 dan mereka yang kurang berkemampuan dalam soal pendidikan.
“Dalam hal ini, Universiti Awam (UA) telah diarahkan supaya menghadkan yuran pendaftaran pelajar hanya pada sekitar RM1,500 sahaja mulai Januari 2024. Dan ini selaras dengan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM1,500.
“Dalam masa yang sama, saya ingin maklumkan dalam dewan yang mulia ini iaitu UA juga tidak dibenarkan menghalang mana-mana pendaftaran pelajar daripada kalangan B40 dan mereka yang tidak mampu membayar yuran kemasukan pengajian, dan kita sedang memantau dan pastikan sekiranya kalau ada kes-kes yang terlibat di kalangan pelajar-pelajar ini sila maklumkan kepada pihak Kementerian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahi Parlimen Sungai Siput, Kesavan A/L Subramaniam meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan pendirian Kementerian berkenaan yuran pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar di universiti awam yang membebankan golongan ibu bapa B40.
Dr Zambry seterusnya memberitahu pada bulan September yang lalu, pihaknya telah pun meminta semua pentadbir UA untuk menerima masuk pelajar yang kurang berkemampuan yang mendapat tawaran kemasukan tanpa menangguhkan urusan mereka untuk mendaftar.
“Dan selaras dengan itu juga menangguhkan bayaran yuran pendaftaran bagi Sesi Akademik 2024/2025. Langkah ini adalah untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir disebabkan masalah kewangan mereka,” tambahnya.
Jadi, secara ringkasnya tambahnya lagi dasar Kerajaan tidak akan sama sekali membenarkan mana-mana pelajar yang berkemampuan tetapi tidak dapat memasuki atau mendaftar ke universiti-universiti. – UMNO Online