Kemas Kini Akta 166 Pastikan Peguam Ikut Standard, Etika Dan Profesionalisme Tinggi

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan peningkatan ketara dalam bilangan peguam yang berdaftar di Malaysia dari sekitar 15,000 pada 2012 kepada lebih 23,000 pada awal tahun 2024.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata peningkatan ini menunjukkan keperluan untuk mengemas kini Akta 166 bagi memastikan ia kekal relevan bagi pengamal undang-undang yang semakin meningkat.

“Selaras dengan itu, cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Kerajaan Madani pada hari ini adalah penting dalam memastikan kualiti dan taraf penyampaian perkhidmatan guaman oleh pengamal di Malaysia selaras dengan perkembangan semasa di peringkat antarabangsa selepas lapan tahun akta ini tidak dipinda oleh kerajaan.

“Secara keseluruhan, pindaan yang dicadangkan ini akan memperkenalkan beberapa perubahan penting yang bertujuan untuk meningkatkan pengawalan terhadap pengamal undang-undang dan memastikan mereka mematuhi standard, etika dan profesionalisme yang tinggi,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika bacaan kali yang kedua Rang Undang-undang Profesion Undang-Undang (pindaan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi ini termasuk pengenalan kaedah-kaedah baharu bagi mengawal selia peguam bela, peguam cara dan pelatih dalam kamar, dengan fokus kepada amalan, kelakuan profesional serta syarat-syarat bagi penerimaan masuk ke dalam profesion ini.

Menurut Azalina melalui langkah ini, kerajaan dapat memastikan bahawa hanya individu yang berkelayakan dan beretika dibenarkan untuk beramal sebagai seorang peguam.

“Selain itu, cadangan pindaan ini juga memberikan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia.

“Ini merupakan langkah penting dalam memastikan ketelusan dan integriti pengurusan kewangan lembaga tersebut, sekaligus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan di negara kita.

“Dengan cadangan pindaan ini, kita berharap dapat merangsang pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan daya saing dalam sektor perundangan.

“Kita semua sedar bahawa sektor perundangan juga memainkan peranan kritikal dalam pembangunan ekonomi negara. Dengan memperkukuh perkhidmatan perundangan selaras dengan taraf antarabangsa, kita dapat memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi penyelesaian pertikaian yang efisien.

“Ini juga akan menggalakkan kemasukan firma guaman asing serta perkongsian kepakaran antarabangsa yang turut mampu memperkaya amalan undang-undang di negara kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.