Lima Elemen Penting Perubahan Lakar Kejayaan BN – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti mesti menjadi pemangkin kepada perubahan zaman serta menjadi agen perubahan dan sambutan Jubi Emas Hari ini boleh dijadikan sebagai titik permulaan untuk merekayasa masa depan yang lebih baik.

Justeru, kata beliau menerusi ucapannya pada Sambutan Jubli Emas BN petang tadi, terdapat beberapa elemen penting perubahan yang boleh dilakukan bersama-sama dalam usaha memastikan kejayaan parti berkenaan.

“Pertama lepaskan ego kepartian. Dalam kita mengatur agenda politik, kita mesti bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti demi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu kepentingan politik negara. Sebagai contoh, jika kita nak berbicara tentang pembahagian kerusi, pastinya UMNO sendiri ingin mendapatkan semula semua 121 kerusi yang pernah ditandingi pada PRU-14 yang lalu.

“Namun, realitinya, kita perlu bertindak lebih strategik, memikirkan kelangsungan parti berdasarkan kemampuan dan keperluan. Kalau dikaji, setiap daripada parti-parti teras pernah mengenepikan ego masing-masing. Tatkala penubuhan BN sendiri, UMNO ketepikan ego untuk berkerjasama dengan Pas. Begitu juga MCA.. walaupun seteru… pernah bersama Gerakan dan MIC pula bersama MyPPP.

“Inilah dinamika politik negara yang berubah mengikut acuan semasa dan tidak terperosok dalam ego kepartian semata-mata. Sebaliknya, kita mesti bersedia melihat dari sudut pandang yang lebih luas dan menyusun langkah demi mencapai matlamat yang lebih besar berpaksikan Politik Untuk Negara,” katanya.

BN hari ini menyambut ulang tahunnya ke-50 dengan pelbagai pengisian program yang bermula awal pagi tadi. Turut serta pada sambutan berkenaan pimpinan-pimpinan parti komponen BN serta rakan gabungan yang lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri seterusnya menambah langkah kedua adalah meluaskan keterangkuman (inclusivity), yang mana parti itu tidak boleh eksklusif kepada kelompok tertentu sahaja.

“Kita perlu meluaskan jaringan dan menarik sokongan di luar kerangka kebiasaan. Kita tidak boleh terlalu selesa bergantung kepada sokongan kumpulan tradisional dan pengundi tegar  yang tidak lagi mencukupi untuk memastikan kemenangan kita.

“Golongan muda, wanita, dan masyarakat pelbagai kaum termasuk lah sahabat Friends of BN  perlu diberi ruang dan platform untuk terlibat sama menyuarakan suara dan aspirasi mereka di dalam menentukan hala tuju parti. Jika golongan muda cenderung kepada e-sukan, kita mesti masuk ke dalam ‘circle’ mereka.

“Bagi yang kurang berminat dengan laluan kerjaya konvensional, kita perlu memperkukuhkan agenda TVET untuk memenuhi keperluan kelompok ini yang besar jumlahnya. Untuk wanita, santuni keperluan ibu muda melalui melalui sokongan penjagaan anak (childcare support) dan inisiatif keusahawanan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Selain itu, kita harus menjuarai usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan cara menghubungkan golongan ini dengan pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO,” ujarnya.

Seterusnya tambah Ahmad Zahid lagi adalah adaptasi terhadap perubahan dan untuk ke arah itu masing-masing tidak boleh berada di dalam defensive mode sebaliknya mesti dilakukan dengan memanfaatkan teknologi, data, dan media sosial yang semakin mendominasi pola pemikiran politik

Dalam aspek dasar pula ujarnya, BN mesti terkehadapan di dalam bersuara tentang isu-isu seperti climate change, green technology, tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), dan ekonomi digital kerana isu-isu ini menjadi keutamaan generasi baharu.

“Keempat adalah norma-norma politik baharu. Landskap politik di Malaysia telah berubah. Rakyat kini lebih tertarik kepada politik yang berasaskan keperluan (needs-based) berbanding berasaskan kaum (racebased). Oleh itu, kita perlu meneroka norma baharu dalam politik – beralih kepada isu-isu yang dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan, dan kesihatan.

“Antara contoh usaha BN yang sudah terbukti mendapat perhatian rakyat pada penggal pentadbiran ini adalah dengan memperkukuh pendidikan melalui inisiatif TVET untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi selain membuka lebih banyak peluang untuk usahawan, termasuk dalam industri halal, yang semakin berkembang.

“Kita mengangkat martabat para huffaz agar mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.  Kita menyantuni pekerja gig yang memerlukan perlindungan sosial.Inilah yang rakyat mahukan dan mereka mahu solusi konkrit untuk cabaran kehidupan harian,” ujarnya.

“Kelima mengurus keutamaan. Kita perlu bijak mengurus keutamaan. Ya, siapa yang tidak mahu partinya menjadi dominan? Namun, keinginan itu tertangguh hari ini untuk mencapai matlamat jangka panjang. Keutamaan kita sekarang adalah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

“Kita perlu faham, rakyat kini menilai bukan hanya pada janji, tetapi pada tindakan dan keputusan yang menunjukkan kebijaksanaan kita mengurus negara. Pilihan untuk bersama Kerajaan Perpaduan ini adalah pengorbanan besar, tetapi ia juga peluang untuk BN membuktikan bahawa kita adalah komponen dalam gabungan itu yang matang dan bertanggungjawab,”. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit