Jubli Emas BN: Hargai Setiap Pengorbanan, Perjuangan Memajukan Negara

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Johor, Datuk Norshida Ibrahim menyeru seluruh pemimpin dan ahli untuk menghargai setiap pengorbanan dan perjuangan untuk memajukan negara sempena sambutan Jubli Emas Barisan Nasional (BN) ke-50.

Menurutnya, pelbagai suka dan duka telah dilalui sepanjang lima dekad penubuhan BN namun semangat perjuangan tetap utuh dalam memberikan perkhidmatan kepada negara serta rakyat.

“Pada hari yang penuh bersejarah ini, kita menyambut satu pencapaian yang amat bermakna dalam sejarah BN, iaitu Jubli Emas ke-50 tahun. Lima dekad sudah berlalu sejak penubuhan BN dan sepanjang perjalanan, banyak suka duka yang telah dilalui.

“Namun, semangat perjuangan kita tetap utuh dan kita bersyukur kerana masih teguh, malah BN dapat bersama-sama memimpin negara serta berkhidmat untuk rakyat Malaysia tercinta.

“Tema sambutan kali ini, ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’, amat relevan kerana ia bukanlah sekadar pernyataan semangat, tetapi juga menggambarkan perjalanan yang panjang dan penuh cabaran, serta amanah besar yang dipikul oleh BN sebagai sebuah parti meneraju negara ini sejak merdeka,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, perjuangan BN bermula lebih awal untuk mencapai kemerdekaan pada tahun 1946 daripada penjajahan British.

“Sejarah perjuangan BN bermula lebih awal, pada tahun 1946, apabila perikatan yang pertama kali dibentuk untuk membela hak dan kepentingan rakyat negara ini, khususnya dalam usaha mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British.

“Parti Perikatan yang asalnya terdiri daripada UMNO, MCA, dan MIC adalah gabungan parti-parti politik yang mempunyai tujuan yang sama iaitu memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajahan dan ke arah kebebasan serta kemerdekaan.

“Pada 31 Ogos 1957, perjuangan bersama ini akhirnya membuahkan hasil apabila Tanah Melayu merdeka, menjadikan negara kita sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.

Menurutnya, Parti Perikatan telah bertransformasi menjadi BN dengan kemasukan parti-parti baharu pada tahun 1973 untuk memperkukuhkan lagi kesinambungan perjuangan.

“Pada masa itu, Parti Perikatan telah berjaya membentuk kerajaan yang pertama dan memimpin negara melalui tempoh awal pasca-merdeka lantas mengemudi anak bangsa kepada kemajuan yang signifikan dalam negara kita, membina asas kestabilan politik, pembangunan ekonomi, serta memastikan rakyat dapat hidup dalam keharmonian dan perpaduan.

“Cabaran sentiasa diterjang dalam dekad-dekad berikutnya. Pada tahun 1973, Parti Perikatan bertransformasi menjadi BN, dengan kemasukan parti-parti baharu, termasuk Pas dan Gerakan untuk memperkukuhkan lagi kesinambungan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“BN berfungsi sebagai sebuah gabungan yang lebih luas, dengan satu matlamat utama terus memajukan negara dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam arus pemodenan,” katanya.

Tegasnya, BN tetap berusaha dengan penuh kesungguhan untuk memastikan negara ini sentiasa stabil meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan termasuklah hilang sokongan majoriti rakyat.

“Selama 50 tahun ini, BN telah melalui pelbagai ujian dan cabaran, terutama dalam usaha untuk memajukan negara. Kita pernah berada di puncak kekuasaan, membawa negara ini ke tahap yang lebih tinggi, keluar dari kepompong kemiskinan memacu pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat. Malaysia berkembang pesat menjadi salah satu negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

“Namun, tidak ada perjalanan tanpa berdepan rintangan. Dinamika politik berubah dan cabaran besar melanda apabila BN kehilangan kepercayaan sebahagian rakyat. Patah sayap bertongkat paruh, biar jatuh terluka tetap berusaha bangkit kembali, begitulah ampuhnya semangat terpasak dalam BN.

“Tidak akan pernah menyerah dan BN tetap teguh serta berusaha dengan penuh kesungguhan untuk memastikan negara ini sentiasa stabil dan rakyatnya hidup makmur,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut beranggapan bahawa semangat juang BN tidak pernah pudar dan berubah meskipun diuji dengan kekalahan dan peralihan kuasa pada tahun 2018.

“Walaupun BN diuji dengan kekalahan dan peralihan kuasa pada tahun 2018, semangat juang tidak pernah pudar. Daripada sebuah kerajaan BN bergelar pembangkang namun sentiasa berusaha untuk kembali kepada akar perjuangan iaitu dari rakyat, untuk rakyat dan demi rakyat.

“Kita tidak pernah berputus asa, kerana kita percaya bahawa BN tetap relevan dalam membawa negara kepada masa depan yang lebih gemilang. Kini, pada usia 50 tahun, BN telah menunjukkan bahawa kita adalah gabungan yang berdaya tahan yang terus berkomitmen demi bangsa Malaysia secara holistik,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para pejuang parti terus membawa semangat perjuangan dari zaman Parti Perikatan demi masa depan agama, bangsa dan tanah air.

“Dalam setiap langkah yang diambil, kita tetap menjunjung prinsip perpaduan, integriti, dan tanggungjawab kepada rakyat. Dengan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur, kita sama-sama perbaharui tekad dan akan terus berusaha untuk memastikan masa depan negara ini lebih cerah.

“Dalam menyambut Jubli Emas BN ini, marilah kita semua menghargai setiap pengorbanan, setiap perjuangan, dan setiap langkah yang telah diambil untuk memajukan negara ini.

“Semangat perjuangan yang kita bawa dari zaman Perikatan sehinggalah ke BN kini harus terus hidup demi masa depan semua. Marilah kita bersatu, bekerja bersama meneruskan perjuangan dan memastikan BN terus menjadi tunjang kekuatan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit