Pindaan RUU Perlembagaan (2024): Noraini Idris Sentuh Isu Kewarganegaraan Di Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Senator Datuk Noraini Idris telah mengutarakan pandangannya terhadap cadangan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang melibatkan isu kewarganegaraan dengan menyokong pindaan tersebut, namun menekankan beberapa kebimbangan serta cadangan untuk memastikan keadilan dan keberkesanan pelaksanaannya.

Noraini memuji pindaan pada Perkara 14(1)(b) yang membolehkan ibu warganegara Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak mereka yang lahir di luar negara.

Namun begitu beliau menyatakan kebimbangan terhadap sifat prospektif pindaan itu yang tidak merangkumi kes-kes permohonan terdahulu yang telah ditolak.

“Hal ini yang menimbulkan kegusaran di kalangan ibu-ibu yang telah lama memfailkan permohonan di bawah perkara ini, ada yang permohonan ditolak oleh JPN sehingga ada yang terpaksa membawa perkara ini ke Mahkamah.

“Bagaimana dengan permohonan-permohan yang sudah difailkan sebelum ini yang telah melalui proses penolakan oleh JPN sehingga ada yang melalui proses permohonan di Mahkamah,” katanya dalam siding Dewan Negara pada Selasa.

Justeru Noraini mencadangkan agar pindaan ini bersifat retroaktif untuk melindungi hak kanak-kanak yang lahir selepas Hari Malaysia.

Beliau turut menyentuh isu pelucutan kewarganegaraan bagi wanita asing yang perkahwinannya dibubarkan dalam tempoh dua tahun dan menyifatkan langkah ini sebagai regresif serta mempersoalkan nasib anak-anak hasil perkahwinan tersebut.

Tegasnya adalah penting mekanisme perlindungan yang lebih jelas bagi memastikan tiada pihak yang memanipulasi peruntukan ini demi kepentingan peribadi.

Noraini juga menzahirkan kebimbangan terhadap pindaan yang memperuntukkan bayi yang dijumpai tanpa dokumen sah dianggap sebagai warganegara sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Di Sabah isu Pendatang Tanpa Izin (PTI) adalah isu yang sudah berakar umbi sekian lama di negeri ini. Hinggakan ada PTI yang tinggal berkurun lama dan menikmati segala kemudahan awam, menikmati limpahan ekonomi di negeri ini sama seperti warga tempatan.

“Saya menyuarakan isu ini bukan saya tidak simpati dengan nasib kanak-kanak baru lahir atau bayi yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat oleh orang tuanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menyelesaikan isu melibatkan kira-kira 30,000 pemegang status pemastautin tetap (MyPR) yang tidak memiliki dokumen lengkap, termasuk mereka yang diambil sebagai anak angkat atau lahir sebelum kemerdekaan.

Gesanya, perincian mengenai jumlah pemegang status ini di Sabah dan langkah segera untuk menyelesaikan masalah tersebut perlu dilaksana. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit