Kes Najib-IPIC: Pedoman Untuk Ketelusan Dan Keadilan Sistem Perundangan

KES melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam tuduhan pecah amanah RM6.6 bilion melibatkan dana International Petroleum Investment Company (IPIC), menimbulkan pelbagai persoalan.

Isu ini memperlihatkan beberapa kelemahan dalam sistem perundangan, khususnya dari segi pengurusan masa dan keadilan yang sewajarnya.

Hal ini juga menimbulkan keraguan dalam kalangan mahasiswa yang sejak awal menanti-nantikan perkembangan kes ini. Namun kecewa kami apabila kes ini terhenti hanya semata-mata tiada persiapan yang rapi sebelum membawa kepada pendakwaan.

1. Kelewatan Proses dan Implikasi Kepada Keadilan
Kelewatan yang melampau dalam menyelesaikan kes ini bukan sahaja menjejaskan imej institusi kehakiman, tetapi juga memberikan kesan buruk kepada tertuduh, mangsa, dan masyarakat secara keseluruhannya.Bukankah perlembagaan tanah air memberi jaminan bahawa setiap rakyatnya wajib dan seyogianya diberikan layanan yang sama rata dalam perundangan. Dalam konteks Najib, terdapat pandangan bahawa kelewatan ini menjadikannya “mangsa” kepada sistem yang gagal bertindak pantas dan efisien. Keadaan ini juga membuka ruang kepada spekulasi politik dan persepsi negatif terhadap sistem keadilan negara.

Prinsip asas “justice delayed is justice denied” wajar dijadikan panduan. Apabila kes ditangguhkan berulang kali atau tidak diselesaikan dalam tempoh yang munasabah, ia bukan sahaja mencemarkan kepercayaan awam tetapi juga menafikan hak tertuduh untuk mendapatkan keadilan dalam waktu yang wajar.

2. DNAA: Keputusan yang Mengelirukan
Keputusan DNAA sering dianggap sebagai kompromi, di mana tertuduh dilepaskan tanpa pembebasan penuh. Dalam kes ini, alasan yang diberikan ialah pendakwaan memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan. Namun, persoalannya, mengapa kelemahan dalam persediaan pendakwaan wujud, terutama dalam kes berprofil tinggi seperti ini? Apakah tidak ada mekanisme yang lebih ketat untuk memastikan pendakwaan bersedia sebelum membawa kes ke mahkamah?

Keputusan DNAA boleh membawa dua kesan besar:
– Bagi tertuduh seperti Najib, keputusan ini membebankan kerana tuduhan masih tergantung, mencetuskan beban moral dan sosial.
– Bagi rakyat, ia mencetuskan keraguan sama ada keadilan sedang ditegakkan atau sekadar permainan undang-undang.

3. Kesan Terhadap Persepsi Awam
Kes ini mencerminkan cabaran yang dihadapi oleh sistem kehakiman dalam menangani kes berprofil tinggi yang sarat dengan implikasi politik. Kelewatan dan keputusan DNAA berisiko menghakis keyakinan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman dan pendakwaan. Persepsi bahawa terdapat pengaruh luar dalam proses perundangan semakin sukar dibendung apabila kes-kes sebegini sering kali tertangguh tanpa keputusan muktamad.

4. Penambahbaikan Sistem Perundangan
Untuk mengelakkan situasi serupa di masa hadapan, beberapa langkah boleh diambil:
-Peningkatan Kecekapan Siasatan:Pendakwaan harus memastikan kes berprofil tinggi diuruskan dengan teliti dan segera.
– Had Masa untuk Kes:Mahkamah perlu menetapkan garis masa ketat untuk penyelesaian kes tanpa melanggar prinsip keadilan.
– Pengawasan Awam: Mekanisme pemantauan awam terhadap kes-kes berprofil tinggi boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan ketelusan.

Kes Najib-IPIC mencerminkan kelemahan struktur yang serius dalam sistem perundangan negara, khususnya dari segi pengurusan masa dan keadilan yang saksama.

Sama ada Najib benar-benar bersalah atau tidak, isu kelewatan kes melampau ini menonjolkan perlunya reformasi sistemik untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang kompromi terhadap prinsip keluhuran undang-undang.


MUHAMMAD FAREEZAD KHAIRUDDIN
Mahasiswa Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

************************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.