Jadikan Banjir Produk Pelancongan, ‘The Real’ Menangguk Di Air Yang Keruh – Wan Mahussin

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jeli, Wan Mahussin Wan Zain beranggapan bahawa kenyataan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Kamarudin Md Noor adalah ‘menangguk di air yang keruh’.

Ini kerana katanya, cadangan untuk menjadikan banjir sebagai produk pelancongan dilihat dangkal meskipun kelihatan seperti pemikiran di luar kotak.

“Berkaitan dengan cadangan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan untuk menjadikan banjir ini sebagai produk pelancongan, pada saya ia kelihatan dangkal. Pada awalnya, nampak seperti pemikiran di luar kotak. Tetapi apabila kita teliti dan selidik keadaan banjir itu, cadangan tersebut seperti tidak berotak.

“Banjir ini bukannya suka-suka untuk kita jadikan produk seperti tempat peranginan ataupun kawasan-kawasan air terjun biasa. Ini adalah ujian Allah kerana kerakusan dan kealpaan kita kerana tidak menjaga alam semesta. Bulan Januari hingga Oktober, kita ‘galak’ mengambil balak-balak di kawasan hulu, teres bukit, ambil pasir, ambil emas dan sebagainya. Bulan November dan Disember, Allah berikan ujian untuk kita.

“Jadi, apabila kita menjadikan banjir ini sebagai produk pelancongan, pertama sekali kita kena tahu kondisi air banjir itu. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan amaran supaya jangan bermain dengan banjir kerana penyakit bawaan air ini bahaya. Bomba juga menasihatkan jangan bermain dengan banjir kerana ia mampu meragut nyawa. Tetapi, ada juga exco atau pemimpin yang ingin menangguk di air yang keruh,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, cadangan tersebut turut menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan ditadbir oleh Pas tidak mahu menyelesaikan masalah banjir yang membelenggu ‘negeri serambi Mekah’ itu sejak sekian lama.

“Ketika rakyat sedang susah… nak selamatkan barang, nyawa, berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), ada pemimpin yang mengambil kesempatan untuk jadikan banjir ini sebagai produk pelancongan. Saya melihat, sebenarnya mereka ‘ada udang di sebalik batu’.

“Pertama sekali, mereka tidak mahu menyelesaikan isu banjir. Kenapa? Apabila tidak ada banjir, maka tidak adalah produk pelancongan. Mereka sepatutnya menyelesaikan isu-isu berkaitan banjir. Sebelum kedatangan banjir, pastikan longkang-longkang yang tersumbat dipulihkan, sungai-sungai cetek diperdalamkan supaya aliran air hujan itu dapat dialirkan dengan baik, tidak menyebabkan banjir termenung dan sebagainya.

“Jadi ini adalah satu cadangan yang sangat dangkal. Di saat rakyat 70,000 rakyat berpindah ke PPS, kita sibuk nak buat produk pelancongan. Ini bukan produk pelancongan. Ini adalah masa untuk kita tengok pemimpin mengeluarkan produk kebajikan. Bukan datang untuk sekadar menghulurkan bantuan tetapi untuk menyelesaikan permasalahan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa para pemimpin di Negeri Kelantan sepatutnya memikirnya mengenai cara untuk mengurangkan risiko banjir di negeri tersebut.

“Jika di kawasan-kawasan yang rendah, macam mana kita nak pastikan rakyat pada tahun hadapan… kalau tahun ini banjir di paras pinggang, tahun depan kita nak turun kepada paras lutut. Sampailah tahun-tahun yang hadapan, kita nak pastikan banjir ini selesai.

“Walaupun hujan ini Allah akan kurniakan pada musim peralihan monsun, tapi kita nak kurangkan risiko. Seperti kita menggunakan payung ketika waktu hujan. Kita guna payung ini bukan untuk meredakan hujan. Tetapi untuk mengurangkan risiko daripada basah, penyakit dan sebagainya.

“Jadi itu yang sepatutnya diberikan perhatian pada musim-musim sekarang ini. Bukannya memberikan cadangan di luar kotak tanpa bawa otak,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit