Pendidikan Negara Tidak Boleh Diurus Bersandarkan Emosi – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perkara yang melibatkan pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan bersandarkan emosi apatah lagi menjuruskan kepada kepentingan politik semata-mata sebagaimana yang selalu diterjemahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut bekas menteri pendidikan itu, ini dapat dilihat dalam beberapa keputusan dan tindakan Dr. Maszlee yang lebih suka mengambil pendekatan tersebut berbanding fakta sebenar sebagaimana isu Program Susu Sekolah dan terbaharu mengambil kredit pembinaan Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih.
Bercakap dalam Diskusi N.24 Semenyih dengan topik ‘Pendidikan: Cacamarba Di Bawah PH’ jelas Mahdzir, dalam konteks menteri pendidikan ia mempunyai dua tugas yang berbeza iaitu perkara yang melibatkan dasar dan juga operasi.
“Satu melibatkan dasar iaitu dasar pendidikan, yang kedua operasi. Dasar ini pun boleh diubah suai mengikut kesesuaian masa dan tambah nilai. Operasi seperti pertukaran guru duka lara, program susu dan bantuan makanan asrama.
“Masalahnya apa yang Dr. Maszlee mahu lihat adalah dahulunya semuanya tidak betul, mesti dibuat perkara baharu… itu dalam pemikiran mereka sedangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional (PPPN) 2013-2015 bukan saya yang mulakan, yang mulakan Tan Sri Muhyiddin sebagai menteri pendidikan. Saya menyambung apa yang Tan Sri buat untuk melengkapkan pada waktu itu. Yang itu pun Dr. Maszlee nak komen tapi dia sedar bila itu adalah hasil kerja Tan Sri Muhyiddin, kemudian dia ‘slow’ sikit.
“Macam tulah dengan program susu ini, program susu ini dibuat tiap-tiap tahun tetapi 2018 tidak dibuat sebab pada waktu kelulusan datang dari Kementerian Kewangan pilihan raya (umum) sudah dekat, tapi dia punya ‘statement’ seolah-olah duit hilang… Saya difahamkan pegawai dah maklum kepada dia, tetapi dia masih lagi bercakap seolah-olah tidak mahu dengar dari pegawai,” kata Mahdzir lagi.
Begitu juga ujarya dengan tindakan Dr. Maszlee yang mengambil kredit ketika melakukan upacara pecah tanah Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi, Semenyih.
“Menteri tidak boleh bercakap bohong, dia pergi ke Semenyih. Sekarang musim pilihan raya, dia umum pula Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih baru diluluskan tahun lepas bulan 10.
“Satu Semenyih dah tahu yang tender telah dibuat pada April 2018 dan lepas itu diputuskan Lembaga Tender, jadi dia pergilah pecah tanah baru ini tapi dia sebut baru dapat kelulusan setelah 6 tahun.
“Saya sudah pergi ke situ Januari 2018, umum sekolah nak dibuat. Perkara-perkara macam itu sekarang orang dah tahu, boleh tahu maklumat ada di mana-mana. Jadi Dr. Maszlee lebih nak tunjuk kepada emosi… jadi tak payah nak tunjuk emosi,” bidasnya lagi.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap turut terkejut dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memberi peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
“SMPC yang berada di luar daripada arus pendidikan nasional, Akta Pendidikan Negara tetapi boleh dapat RM12 juta… kita juga tahu SMPC ini ada berapa… Ini bukan dalam Dasar Pendidikan Negara… Ini ‘totally’ di luar terus, tapi dapat.
“Benda-benda ini bila disebut dianggap sebagai perkauman… Ini bukan soal perkauman, ini kerana sekolah yang di luar daripada sistem. SRJK (Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan) itu ya… termasuk dalam sistem pendidikan.
“Inilah perkara tidak adil berlaku dan sedang dilakukan oleh mereka dalam kerajaan PH terutamanya dari Dap,” kesalnya lagi.
Antaranya, dilaporkan Januari lalu, peruntukan berjumlah RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina telah dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng – MediaUMNO