Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Menteri UMNO/BN Main Peranan Signifikan – Noor Azleen

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Para menteri dari UMNO/Barisan Nasional (BN) telah memainkan peranan signifikan terutamanya dalam membantu Kerajaan Perpaduan mentadbir negara dengan mampan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros berkata, pada tahun hadapan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN dan ia bakal menonjolkan lagi peranan penting para menteri Keraaan Perpaduan.

“Kita dapat melihat peranan menteri-menteri dari UMNO yang begitu signifikan kepada Kerajaan Madani ini sudah memasuki tahun ke-2 dan akan masuk ke tahun ke-3. Kalau kita dapat lihat, pada tahun depan lebih mustahak dan penting kerana Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN.

“Sudah tentu, di sini kita akan dapat lihat peranan dimainkan oleh menteri yang memegang portfolio-portfolio berkaitan dengan kepengerusian ASEAN pada tahun 2025.

“Saya pasti Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Negeri merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pun ada dan bakal memainkan peranan penting serta signifikan dalam memeta Malaysia di mata dunia,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa kemenangan UMNO/BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota pada September lalu akan dijadikan motivasi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang mungkin berlangsung pada 2026.

“Bukan tahun depan (PRN), saya rasa seawal tahun 2026. Kemenangan kita di PRK Mahkota akan dijadikan sebagai suntikan motivasi dan semangat untuk kita pastikan negeri Johor ini kita boleh kekalkan.

“Kalau di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, kita tetapkan UMNO/Barisan Nasional perlu bertanding kurang-kurangnya 44 kursi termasuklah empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) contoh seperti Endau, Maharani, Bukit Kepong dan juga Puteri Wangsa.

“Saya rasa UMNO/BN seharusnya meletakkan calon tidak kurang daripada 44 kerusi kalau kita masuk PRN Johor dengan formula Kerajaan Perpaduan. Itu apa yang Pergerakan Pemuda UMNO Johor ingin minta dan cadangkan. Selebihnya kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk melaksanakan sebarang keputusan,” katanya lagi.

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada November 2022 memperlihatkan bahawa tidak ada satu pun parti yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, tuanku menitahkan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk untuk menamatkan kemelut ‘kerajaan tergantung’ yang telah berlaku selama lima hari.

Sepanjang lima hari berlakunya ‘kerajaan tergantung’ itu, BN telah mengadakan pertemuan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Namun PN telah menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Demi menyelamatkan negara, BN dan PH mengenepikan sengketa yang berabad… lalu memeterai kerjasama untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit