Lawatan Kerja Ke Peru: Tetap Agenda Masa Hadapan Hubungan Dua Hala – Mohamad
KUALA LUMPUR, 15 Nov – Lawatan kerja ke Peru telah memperlihatkan komitmen pemimpin kedua-dua negara untuk menetapkan agenda masa hadapan bagi hubungan dua hala.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa gerak kerja di Lima, Peru dimulakan dengan mengadakan kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru, PYT Dina Ercilia Boluarte Zegarra.
“Gerak kerja pertama di Lima, Peru dimulakan dengan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan kunjungan rasmi ke atas PYT Dina Ercilia Boluarte Zegarra, Presiden Peru yang diadakan di Istana Kerajaan Peru.
“Perdana Menteri kemudiannya telah mengadakan pertemuan empat mata bersama PYT Dina Boluarte. Dalam pertemuan ini, kedua-dua pemimpin telah menetapkan agenda masa hadapan bagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru,” katanya.
Menurutnya, para pemimpin kedua-dua negara turut menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan penganugerahan pingat kebesaran tertinggi ‘El Sol del Peru’.
“Seterusnya, Perdana Menteri telah mengetuai delegasi Malaysia dalam Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Peru. Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran tiga MoU, iaitu antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
“Usai pertemuan, Perdana Menteri telah telah dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi ‘El Sol del Peru’ oleh PYT Dina Boluarte. Pingat kebesaran ini merupakan pengiktirafan Kerajaan Peru kepada Perdana Menteri atas usaha menjalinkan hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Peru,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa delegasi Malaysia telah menghadiri Sesi Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Pemain Utama Industri di Republik Peru.
“Delegasi Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya menghadiri Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Pemain Utama Industri di Republik Peru.
“Mesyuarat yang dihadiri oleh 22 wakil daripada 20 organisasi termasuklah konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez dan Grupo Molicom. Ini memberikan peluang kepada syarikat-syarikat Peru untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar Malaysia.
“Mesyuarat juga telah membincangkan strategi untuk memanfaatkan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-pasifik (CPTPP),” katanya lagi. – UMNO Online