Perincian Peruntukan Pembangunan Sabah Perlu Dijelaskan – Bung Moktar
KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kerajaan diminta untuk memperincikan jumlah peruntukan yang disalurkan kepada Sabah setiap tahun dalam Belanjawan yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata perkara ini penting agar rakyat mendapat maklumat yang tepat mengenai jumlah sebenar yang telah disalurkan untuk tujuan pembangunan di negeri terbabit, agar ia seimbang dengan projek-projek yang telah dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat.
“Sebagai contoh, dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.7 bilion. Persoalannya, apakah jumlah tersebut telah disalurkan dan dibelanjakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan di Sabah?” katanya ketika ditemui di sini.
Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, sebelum itu mengemukakan pertanyaan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyatakan jumlah sebenar peruntukan yang telah digunakan bagi setiap peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah bagi tahun 2021, 2022, dan 2023, yang masing-masing berjumlah RM5.1 bilion, RM5.2 bilion, dan RM6.5 bilion.
Dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, peruntukan yang telah digunakan bagi setiap peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk Sabah adalah seperti berikut:
• RP1/2021: Peruntukan sebanyak RM4,517,526,970.00, dan yang telah dibelanjakan RM3,313,549,108.00.
• RP2/2022: Peruntukan sebanyak RM5,711,946,622.00, dan yang telah dibelanjakan RM4,458,815,991.00.
• RP3/2023: Peruntukan sebanyak RM6,502,666,400.00, dan yang telah dibelanjakan RM4,931,055,664.00.
Mengulas mengenai jurang antara peruntukan yang disediakan dan yang dibelanjakan, Bung berkata terdapat ketidakseimbangan yang ketara di mana peruntukan yang disediakan tidak dapat dibelanjakan sepenuhnya.
Ujarnya, ini memerlukan penjelasan dari pihak yang berkenaan mengenai sebab perkara tersebut berlaku.
Menurut Bung, pihak yang berkaitan dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini, sama ada di peringkat kerajaan pusat atau negeri, perlu memperincikan projek-projek yang telah dilaksanakan mengikut peruntukan yang telah disediakan, supaya rakyat mengetahui keadaan yang sebenarnya.
“Tidak dinafikan ada projek yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan beberapa faktor seperti isu teknikal dan sebagainya. Ini menyebabkan peruntukan yang disediakan tidak dapat digunakan sepenuhnya dan dikembalikan kepada kerajaan. Perkara ini merupakan satu kerugian kepada rakyat di negeri ini dan juga membantutkan usaha untuk membangunkan negeri ini,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Wahid