Ahmad Zahid Mendoakan Kesembuhan, Keselamatan Buat Anggota MALBATT

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan agar anggota Batalion Malaysia (MALBATT) yang cedera diberikan kesembuhan segera.

Ahmad Zahid dalam satu hantaran di platform X mendoakan keselamatan dan perlindungan ke atas semua anggota MALBATT yang bertugas dalam misi pengaman di Lubnan.

Ahmad Zahid juga melahirkan perasaan amat dukacita apabila menerima perkhabaran mengenai insiden letupan yang berlaku berdekatan konvoi perjalanan MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah di Lubnan yang telah mengakibatkan beberapa orang anggota MALBATT mengalami kecederaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua berbangga dengan pengorbanan mereka yang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi membawa keamanan di bumi asing.

“Saya percaya Angkatan Tentera Malaysia akan terus berusaha memastikan keselamatan anggota kita di sana dan kita sama-sama mendoakan misi ini terus berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Semoga Allah SWT melindungi perjuangan murni mereka. Insya-Allah,” ujar Presiden UMNO itu lagi.

Semalam seramai enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Dilaporkan, seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah.

Begitu juga dilaporkan, kejadian berpunca daripada serpihan letupan sebuah kereta yang belum diketahui puncanya sama ada akibat tembakan daripada dron atau pesawat pejuang Israel.

Pada Rabu lalu, penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 November hingga 18 November ini. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.