Najib Pemimpin Bertanggungjawab, Manfaatkan Perintah Bela Diri Buktikan Kebenaran

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Imran Tamrin percaya pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memanfaatkan perintah bela diri yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada minggu lalu.

Katanya, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, Najib akan menggunakan ruang tersebut untuk menjernih serta memberi penjelasan terhadap keseluruhan berkaitan dengan pendakwaan di dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tersebut.

“Peguam utama yang mewakili Datuk Seri Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan membantu beliau sebaik mungkin bagi memastikan bahawa ruang yang ada untuk membela diri ini digunakan sebaik-baiknya memberikan penjelasan kepada mahkamah serta orang awam, keadaan sebenar dalam kes tersebut.

“Kita juga telah mendengar permohonan maaf dan juga kenyataan yang telahpun disampaikan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib yang menyatakan bahawa kekesalan Datuk Seri Najib berkenaan dengan apa yang telah berlaku di dalam kes 1MDB tersebut,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Sungai Besar dalam pada itu berkata sebagai pemimpin politik dan juga peguam beliau percaya bahawa Najib telahpun teraniaya dengan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kedudukan serta kebaikan Najib yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Menurut beliau ini kerana Najib dalam tempoh sebagai Perdana Menteri ingin menumpukan banyak perkara khususnya kepada kebajikan rakyat, ekonomi, sosial dan juga pembangunan negara.

“Mungkin ada perkara-perkara yang telahpun beliau berikan tanggungjawab kepada mungkin seseorang pegawai-pegawai ataupun kepada pihak-pihak yang tertentu dan beliau dikhianati,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau juga percaya bahawa dalam undang-undang mustahil skandal sebesar 1MDB ini diletakkan beban kesalahan hanya kepada seorang sahaja.

Menurut Imran pihak yang membenarkan perkara ini berlaku bukan seorang bahkan mereka yang bertanggungjawab dalam sistem tersebut.

“Kalau diletakkan tanggungjawab tersebut kepada Datuk Seri Najib seorang adalah suatu yang tidak adil dan juga zalim pada pandangan saya kerana sebagai Perdana Menteri ketika itu beliau ada banyak perkara-perkara dan juga tumpuan-tumpuan lain yang beliau perlu beri tumpuan dan juga fokuskan daripada 1MDB itu sendiri.

“Kerana 1MDB itu sendiri secara hakikinya ia berdiri sebagai entiti ataupun sebuah syarikat yang ditadbir bukan oleh satu orang tetapi oleh ramai orang dan ia bukannya khusus ataupun entiti-entiti seperti jabatan-jabatan kerajaan, ia adalah entiti perniagaan.

“Jadi meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib pada pandangan saya adalah suatu yang tidak adil dan juga suatu yang bersifat zalim dan ini adalah ruang yang terbaik pada Datuk Seri Najib melalui Tan Sri Muhammad Shafee sebagai peguam bela untuk mengambil ruang pembelaan ini.

“Kerana saya difahamkan dan juga membaca keterangan-keterangan sebelum ini bahawa Datuk Seri Najib akan mengambil pilihan untuk memberi kenyataan di dalam kandang saksi secara bersumpah untuk membela diri dalam 1MDB ini jadi saya fikir ini adalah peluang yang terbaik untuk beliau membersihkan nama dan juga memberikan penjelasan yang sejelas-jelasnya berkenaan dengan apa yang telah berlaku dalam 1MDB ini,” ujar beliau.

Terdahulu Mahkamah Tinggi pada minggu lalu memerintahkan Najib membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua 25 tuduhan yang dikenakan terhadap Najib yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ketika kesalahan itu didakwa dilakukan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.