Integrasi Ekonomi Hijau Dalam Belanjawan 2025: Langkah Maju Menuju Pembangunan Lestari

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad menyambut baik langkah kerajaan pada Belanjawan 2025 yang memberikan peruntukan bagi program tebatan banjir.

Beliau berkata ini di kawasannya, rakyat dihimpit dengan musibah banjir yang berlaku akibat daripada peparitan yang tidak diselenggara dengan baik.

“Isu yang hangat dibincangkan sepanjang dua minggu perbahasan belanjawan ini iaitu musibah banjir. Pada Oktober yang lalu, rakyat Simpang Renggam sekali lagi dilanda banjir akibat taburan hujan yang melebihi tiga kali ganda paras biasa.

“Ditambah pula dengan peparitan yang tidak diselenggara dengan baik. Inilah realiti yang rakyat hadapi. Dan sebagai wakil rakyat, saya menyambut baik peruntukan Belanjawan 2025 untuk tebatan banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hasni malah menyeru agar kerajaan menyalurkan segera dana RM50 juta bagi kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit serta tambahan RM150 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pembersihan sungai.

“Saya juga ingin bertanya dengan JPS bagaimana dengan peruntukan RM150 juta ini kepada PBT dan juga RM50 juta untuk kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit ini, bagaimana peruntukan berkenaan ini akan diagihkan mengikut keperluan kawasan?” katanya.

Hasni dalam pada itu turut sama memetik buku The New Nature of Business, Andre Hoffmann dan Peter Van Ham mengatakan bahawa impak sosial dan impak terhadap alam sekitar perlu diintegrasikan dalam laporan kewangan perniagaan.

Menurut beliau begitu juga dengan Belanjawan 2025 yang wajar dibincangkan melalui lensa belanjawan hijau.

“Pendekatan ini menilai setiap perbelanjaan dari sudut impak terhadap alam sekitar dan memastikan dana disalurkan ke arah projek dan polisi yang menyokong kelestarian. Di peringkat antarabangsa, pendekatan belanjawan hijau akan memertabatkan Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab dalam menangani perubahan iklim.

“Malah ia akan memperkukuhkan komitmen kita terhadap perjanjian global yang menjadikan Malaysia lebih menarik bagi pelabur yang mementingkan prinsip ESG. Ya, pelbagai inisiatif dalam belanjawan ini yang merupakan penambahbaikan. Terutama komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan ekonomi hijau dan mempromosikan tenaga lestari.

“Walaupun begitu, kerajaan nampaknya telah berusaha dengan baik untuk memberi keutamaan kepada kelestarian dalam beberapa aspek utama. Terdapat juga bidang yang memerlukan penambahbaikan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit