Ahmad Maslan Bentang Perkembangan Projek Pelebaran Lebuh Raya KLK Dan SSLR

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Cadangan pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dijangka akan dapat menyediakan lebuh raya yang selesa, cepat, mudah dan cekap serta berupaya menangani isu kesesakan yang sering berlaku terutamanya pada musim perayaan, cuti umum dan hujung minggu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerajaan telah meluluskan cadangan pelebaran lorong tambahan yang akan dilaksanakan oleh pihak AFA Prime Berhad selaku pemegang konsesi lebuh raya ini.

“Projek pelebaran Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) ini akan melibatkan jarak sepanjang 45.3 km dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuh raya.

“Antara skop kerja pelebaran lebuh raya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah dan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 dari Genting Sempah ke Bentong.

“Skop kerja ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur. Berdasarkan kajian perunding trafik, Level of Services (LOS) akan bertambah baik dari LOS ‘E’ dan ‘F’ sedia ada pada hujung minggu kepada LOS ‘C’ selepas siap projek pelebaran lebuh raya KLK ini kelak,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor meminta Menteri Kerja Raya menyatakan rancangan Kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di KLK dan adakah laluan alternatif akan dibina bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah pihak syarikat konsesi sedang di dalam proses untuk memuktamadkan reka bentuk sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak yang dijangkakan bermula pada Januari 2025.

“Kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan. Berdasarkan perjanjian konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuh Raya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029.

“Kementerian Kerja Raya juga sedang melaksanakan kajian kemungkinan pembinaan jalan dari Simpang Pelangai, Pahang ke Putrajaya. Kajian ini bagi mencari penyelesaian untuk melengkapkan kesalinghubungan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) di samping menentukan laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan kepada laluan sedia ada dari Pantai Timur ke Pantai Barat Malaysia,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau yang minta Menteri Kerja Raya menyatakan laluan serta status dan jadual pelaksanaan Sabah, Sarawak Link Road (SSLR) pada masa ini.

Kata Ahmad lagi, projek SSLR dari Lawas hingga persimpangan Long Lopeng atau juga disebut sebagai Projek SSLR Fasa 1 telah mula dilaksanakan pada bulan Ogos 2021.

“Jajaran projek bermula di kampung Gelugus, Lawas sehingga persimpangan Long Lopeng dengan anggaran panjang 77 km. Projek kini telah mencapai 40 peratus pelaksanaan di tapak setakat bulan Oktober 2024 dan dijangka siap pada bulan November 2026.

“Selain itu, projek SSLR Fasa 2 yang telah diluluskan pada tahun 2023 yang lalu telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada bulan Mac 2024. Projek ini melibatkan empat pakej dan jajaran sepanjang anggaran 322 Km.

“Status terkini bagi projek ini adalah sedang di peringkat pengambilan balik tanah oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Negeri Sarawak dan pembersihan tapak oleh kontraktor di beberapa kawasan yang telah selesai urusan pengambilan tanah. Tempoh pelaksanaan Projek SSLR Fasa 2 dijangka selama lima tahun melibatkan kawasan Limbang, Lawas dan Baram,” jelasnya.

Seterusnya Ahmad mengharapkan dengan pembinaan kedua-dua Projek SSLR ini akan menyediakan jaringan jalan raya yang lebih efisien kepada pengguna jalan raya serta merancakkan pembangunan dan ekonomi di kawasan sekitar. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.