Tolak Kepentingan Politik Sempit, JKDM Sabah Untuk Pembangunan Rakyat – Awang Aslee
BEAUFORT, 29 Okt – “Abaikan tanggapan negatif mengenai kewujudan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah kerana ia diiktiraf oleh kerajaan pusat. Mereka yang beri andaian negatif hanya fikir kepentingan politik sempit dan bukannya politik pembangunan untuk rakyat.”
Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkaitan isu terbabit.
Terdahulu telah diadakan sesi taklimat telah dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia (KEMAS) bagi memberi penjelasan mengenai fungsi serta peranan JKDM yang telah dilantik agar dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan lebih efisyen seiring keperluan semasa.
Kata Awang Aslee, jika sebelum ini mereka yang dilantik dalam JKDM masih keliru dengan fungsi serta peranannya maka diharapkan melalui taklimat ini akan lebih memahami tugas dan dapat melaksanakan tanggungjawab lebih berkesan di kawasan masing-masing.
“Sebelum ini mungkin mereka masih masih kurang jelas mengenai fungsi dan peranan JKDM, ada yang dikelirukan lagi dengan kenyataan pihak-pihak tertentu di negeri ini, yang menolak pewujudan JKDM atas persepsi akan memecah-belahkan perpaduan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan Sesi Taklimat JKDM bagi kawasan Parlimen Beaufort bersama KEMAS di Dewan KEMAS Beaufort, kelmarin.
Hadir sama Pegawai KEMAS Beaufort, Halick Udeh; wakil Pegawai Risda Beaufort, Nazri Mat Nasir; Ketua Penerangan UMNO Bahagian Beaufort, Awang Damit Jion; Ketua Wanita UMNO Bahagian Beaufort. Juriffah Saflie; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak.Mohd Yazri Ak. Mohd Yahya dan Ketua Puteri, Munira Sarrie.
Sehubungan itu Awang Aslee yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat Pusat GiatMARA Parlimen Beaufort meminta semua pengerusi JKDM yang telah dilantik khususnya di kawasan tersebut agar lebih fokus melaksanakan tugas serta tanggungjawab kepada masyarakat terutamanya dalam membawa perubahan dari segi kemajuan dan minda rakyat ke arah meningkatkan taraf sosio-ekonomi seharian.
“Di peringkat akar umbi (JKDM) merupakan agen perubahan melalui proses perancangan dan tindakan yang mampu membawa perubahan dari segi landskap pembangunan dan peningkatan ekonomi rakyat setempat,” katanya.
Menurut Awang Aslee, setiap JKDM yang sudah dibentuk tidak perlu risau lagi dengan desakan beberapa pihak yang menolak pewujudan JKDM di negeri ini dengan alasan kerajaan negeri tidak mengiktirafnya.
Dalam pada itu Awang Aslee berkata difahamkan kerajaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperuntukan sebanyak RM100 ribu setahun kepada setiap JKDM di negeri ini, khusus untuk tujuan pembangunan dan peningkatan ekonomi masyarakat setempat.
” Melalui peruntukan ini, setiap JKDM boleh memanfaatkan dengan merancang dan melaksanakan projek-projek kecil pembangunan di kampung masing-masing serta menganjurkan kursus-kursus kemahiran jangka pendek bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat selain menjaga kebajikan masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid