KA24: Zambry Beri Jaminan Kebebasan Akademia Akan Sentiasa Dipertahan
KUALA LUMPUR, 22 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan bahawa kebebasan akademia di negara ini akan sentiasa dipertahankan di samping turut memastikan tiada kongkongan yang dikenakan.
Jelasnya, peranan ahli akademia perlu diteruskan untuk menyuarakan segala perkara yang terkait dengan bidang mereka.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghargai ahli akademia dengan sambutan Hari Akademia yang disambut dan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 5 Oktober 2024.
“Pada Isnin, saya telah hadir ke Konvensyen Akademia 2024 (KA24) yang dianjurkan oleh Akademi Profesor Malaysia (APM) bersama KPT. Majlis mengumpulkan sebahagian daripada profesor dan pensyarah yang mempunyai latar belakang disiplin masing-masing untuk membincangkan beberapa perihal tentang masa depan pendidikan tinggi negara.
“Memetik kata-kata sarjana Edward Said dalam bukunya Representations of the Intellectual, peranan sebagai golongan intelektual sebenarnya dalam konteks negara dan masyarakat sangat besat selain daripada peranan sebagai tenaga pengajar di universiti-universiti serta di kampus-kampus,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menegaskan bahawa ahli akademia perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas.
“Golongan intelektual jangan terperangkap dengan apa yang beliau sebutkan sebagai ‘law of power’. Makanya ahli akademia itu mesti ada ‘the independent mind’ untuk membentuk idea dan juga ilmu.
“Saya juga menyentuh tentang isu memo dalaman yang dikeluarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ‘viral’ baru-baru ini. Pada hemat saya, ahli akademia itu perlu diberi ruang untuk terus menyuarakan pandangan secara bebas serta memberi perhatian kepada isu-isu semasa yang melibatkan masyarakat.
“Namun pada masa sama penyataan ahli akademia ini perlulah dituruti dengan fakta, kajian dan pembuktian serta tidak hanya omong kosong yang boleh menjadi pertikaian,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau juga berhasrat untuk membawa agenda pendidikan tinggi sebagai elemen penting dalam mesyuarat ASEAN.
“Saya memberi jaminan bahawa kebebasan akademia di negara ini akan sentiasa dipertahankan dan akan turut memastikan tiada kongkongan yang dikenakan. Saya turut menyeru agar hubungan yang konstruktif dapat dibina antara golongan akademik dan kerajaan bagi mencapai penyelesaian yang terbaik.
“Mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, saya mahu membawa agenda pendidikan tinggi dijadikan antara elemen penting yang diangkat dalam mesyuarat ASEAN,” katanya lagi.
Di samping itu, beliau turut berharap agar konvensyen tersebut bakal membantu menghasilkan resolusi-resolusi penting untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035.
“Melalui beberapa perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa rakan-rakan negara ASEAN yang lain, mereka juga bersetuju untuk diwujudkan satu kerjasama serta rantaian pendidikan tinggi di peringkat ASEAN.
“Saya mengharapkan konvensyen ini akan membantu menghasilkan resolusi-resolusi penting yang akan memanfaatkan pembangunan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035, sekaligus mengangkat martabat akademia negara,” katanya lagi. – UMNO Online