Bajet 2025: Masa Depan Golongan Muda Perlu Diberi Perhatian – Mohd Syauqi

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Pengerusi Biro Profesional Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad melihat pengumuman kerajaan dalam memperkasakan bakat tempatan melalui TVET dan juga meningkatkan tahap kemahiran serta pendidikan negara menerusi Belanjawan 2025 adalah satu perkara yang cukup baik.

Namun begitu kata beliau anak-anak muda menginginkan suatu hala tuju dan langkah-langkah yang jelas tentang pewujudan peluang-peluang pekerjaan yang bersesuaian ketimbang kelulusan dan gaji pasaran semasa.

“Soal perjawatan, skop kerja serta tangga gaji bersesuaian telah lama menjadi isu anak-anak muda lulusan institusi pengajian tinggi dan juga lulusan TVET, masih ramai tidak berjaya menyertai tenaga kerja bernilai tinggi (high-value workforce) setelah tamat pengajian.

“Pemerkasaan dan galakan pelaburan di bidang pembuatan termaju, Artificial Intelligence, automasi, fintech sememangnya diumumkan, tetapi kami mencadangkana supaya halatuju serta langkah yang lebih jelas dalam menyediakan peluang-peluang kerja yang lebih banyak supaya anak-anak muda yang telah tamat pengajian boleh memperolehi pekerjaan yang lebih baik.

“Isu ini sangat terkait dengan mobiliti sosial di mana, anak-anak muda dari kampung dapat naik taraf perekonomian keluarga mereka dengan tangga gaji yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi setelah puluhan tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan, ramai keluarga telah berjaya keluar dari kemiskinan di kampung-kampung, mempunyai kelulusan tinggi, berpindah ke bandar-bandar, menjadi golongan profesional, usahawan dan juga tenaga kerja mahir yang berpendapatan tinggi.

Tambahnya Malaysia mempunyai peratusan golongan kelas menengah yang agak tinggi berbanding negara-negara Asia yang lain dan justeru, rancangan kerajaan dalam mengurangkan subsidi pendidikan (sama ada di peringkat sekolah, atau pendidikan tinggi) perlu diteliti secara berhati-hati.

“Definisi 15% golongan berpendapatan tinggi tidak boleh dibuat pengkelasan hanya berdasarkan jumlah pendapatan isirumah semata-mata. Kita bimbang sekiranya pengkelasan golongan T15 secara salah, boleh menyebabkan mobiliti sosial masyarakat Malaysia semakin menurun.

“Contohnya isi rumah berpendapatan RM25,000 sebulan yang mempunyai lima orang anak, dengan tiga orang perlu belajar di universiti dalam masa yang sama.

“Sekiranya tidak diberikan kemudahan pendidikan tinggi samarata (caj yang murah), pendapatan RM25,000 sebulan setelah ditolak KWSP, potongan cukai pendapatan bulanan, perbelanjaan rumah dan kos sarahidup di bandar; keluarga tersebut mungkin tidak mampu menanggung kos pendidikan tinggi ketiga-tiga anak tertua tersebut, sementara dua orang anak lagi masih bersekolah,” ujarnya.

Ujar beliau lagi anak-anak muda juga turut melibatkan golongan tenaga kerja di sektor e-hailing dan p-hailing dan alangkah baiknya jika pihak kerajaan dapat merangka suatu regulasi yang boleh melindungi kebajikan mereka dari aspek perlindungan sosial, gaji minima dan juga bantuan-bantuan yang perlu.

“Ini termasuk persediaan menghadapi rancangan pelarasan subsidi Ron95 yang bakal dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti yang diumumkan.

“Sekiranya tidak diperhalusi, mungkin berlaku di mana tenaga kerja di sektor ini menerima bayaran tunai subsidi yang jauh lebih kecil daripada peningkatan harga Ron95 yang mereka bakal tanggung.

“Perkara ini telah berlaku setelah pelarasan subsidi diesel di mana ada golongan rakyat yang menanggung peningkatan harga diesel jauh melebihi RM250 bayaran subsidi yang diberikan.

Diakui bahawa banyak aspek-aspek positif di dalam Bajet 2025. 

“Walau bagaimanapun kami mencadangkan agar pihak Kerajaan dapat melihat dengan lebih mendalam, meneliti, mengkaji dan memperhalusi sesuatu rancangan tersebut. 

“Sebaiknya jika khidmat kesihatan dan pendidikan (rendah dan tinggi) tidak dijadikan sebagai salah satu isu dalam pengurangan subsidi. Kesihatan dan Pendidikan adalah salah satu pelaburan jangkapanjang oleh semua negara di dunia.

“Input dari pelbagai pihak perlu diperolehi. Kita tidak mahu melihat dalam tempoh 10 tahun akan datang, anak-anak dari golongan M40 turun menjadi B40, dan ramai anak-anak dari kalangan T20 tidak mampu meneruskan pengajian di peringkat tertinggi, hanya kerana disebabkan kesilapan dalam sistem pengkelasan kategori pendapatan isirumah,” ujarnya.

Ujarnya lagi perlaksanaan polisi ekonomi negara-negara Scandinavia mungkin boleh dipelajari dan dijadikan model di mana kadar peratusan cukai yang tinggi dikenakan terhadap golongan berpendapatan tinggi, tetapi khidmat serta kemudahan kesihatan dan pendidikan diberikan secara samarata kepada semua rakyat.

Tegas beliau jangan kerana rakyat membayar cukai pendapatan, ada yang dipotong ribuan RM sebulan, ada yang membayar jutaan RM setiap tahun, tetapi mereka dan anak-anak mereka tidak mendapat kemudahan sama rata seperti warganegara lainnya.

“Lebih baik meningkatkan kadar peratusan cukai pendapatan kepada golongan mahakaya dan juga cukai korporat kepada syarikat gergasi berbanding langkah pengurangan subsidi khidmat kesihatan dan pendidikan.

“Meningkatkan kutipan cukai, mengurangkan subsidi, mengelakkan ketirisan, melaksanakan perbelanjaan berhemah sememangnya suatu langkah ekonomi yang baik, tetapi setiap rancangan transformasi perlu diteliti dan tidak dibuat secara terburu-buru,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.