Konflik Di Lubnan: Semua Pasukan UNIFIL Diarah Tidak Laksana Operasi Rondaan

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk Pasukan Malbat 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan pengaman MALBAT 850-11 ke Lubnan melibatkan seramai 853 anggota dan pegawai.

“Malaysia telah menyertai misi pengaman di bawah UNIFIL bermula pada tahun 2007 melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara Malaysia, United Nations Department of Peacekeeping Operations dan juga UNIFIL. Penggiliran atur gerak terbaru adalah daripada 14 November 2023 sehingga 14 November 2024.

“Ia melibatkan seramai 853 anggota dan pegawai. Pasukan ini dikenali sebagai MALBAT 850-11 dan ini termasuk 29 anggota daripada Angkatan Bersenjata di-Raja Brunei. Selain Malaysia, sebanyak 50 negara anggota PBB menyertai misi UNIFIL ini dengan jumlah anggota dan pegawai keseluruhan seramai 10,058 orang.

“MALBAT 850-11 melaksanakan mandat di bawah Majlis Keselamatan PBB, Resolusi 425 dan 426. Tanggungjawab utama pasukan ini adalah memantau dan memastikan pengunduran Israel Defends Force (IDF) dari selatan Lubnan, mengembalikan keamanan dan keselamatan antara bangsa serta membantu kerajaan Lubnan memerintah secara efektif di selatan Lubnan,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa keadaan semasa anggota dan pasukan MALBAT 850-11 di Lubnan dalam keadaan terkawal.

“Berdasarkan laporan yang diterima, keadaan semasa anggota dan pasukan MALBAT 850-11 Malaysia di Lubnan masih dalam keadaan terkawal. Tahap keselamatan semasa pasukan adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga dan dikawal oleh pasukan kita sepanjang tempoh perang Hezbollah-Israel.

“Kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNIFIL, termasuk Pasukan Malbat 850-11 yang beroperasi di selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan akan terus memantau situasi di selatan Lubnan dan mengambil maklum sebarang perkembangan Pasukan MALBAT 850-11.

“Mengambil kira keselamatan petugas, markas UNIFIL juga telah mengaktifkan pelindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal.

“Seperti yang saya telah tegaskan dalam kenyataan media bertarikh 14 Oktober yang lalu, Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia akan terus memantau situasi di selatan Lubnan dan akan mengemas kini sebarang perkembangan melibatkan Pasukan Malbat 850-11,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.