Pelbagaikan Strategi Pelaburan, Perdagangan Pastikan Ekonomi Malaysia Terus Berdaya Tahan – Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata sebagai sebuah negara dagang yang aktif dan terbuka Malaysia sentiasa berpegang kepada dasar ‘tidak bersekutu’ dengan mana-mana negara blok ekonomi mahupun blok ketenteraan dalam menangani isu-isu geopolitik semasa.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, disebabkan itu sebarang ketegangan geopolitik antarabangsa berpotensi untuk menjejaskan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
“Sungguhpun ketegangan geopolitik semasa tidak memberi impak yang signifikan kepada Malaysia dalam jangka masa pendek, namun, kita tidak harus memandang remeh akan risiko jangka panjang sekiranya konflik tersebut berlarutan.
“Rusia dan Ukraine bukanlah rakan dagang utama negara, perdagangan dua hala Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut bagi tahun 2023 hanyalah sebanyak 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan antarabangsa negara.
“Manakala, nilai dagangan dua hala secara individu dengan negara-negara Timur Tengah yang sedang bergolak juga adalah rendah,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditanya Khoo Poay Tiong (PN- LARUT) mengenai langkah yang telah diambil kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia berdaya tahan daripada dampak ketegangan geopolitik berpanjangan di Rusia-Ukraine serta di Timur Tengah yang kini sudah merebak ke negara sekitar.
Tambah beliau, bagi mengatasi kesan konflik geopolitik yang berpanjangan, kementerian sedang giat meneruskan usaha untuk mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan.
Katanya, berpandukan kepada prinsip pengukuhan hubungan diplomasi perdagangan yang pragmatik dengan negara-negara rakan dagang, antara strategi utama yang telah dan sedang dilaksanakan.
“Mempergiat penganjurkan Misi Galakan Pelaburan dan Perdagangan bagi mengukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia dengan rakan dagang sedia ada seperti negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat, Republik Rakyat China, Kesatuan Eropah, Jepun, Republik Korea dan India, di samping mengeratkan kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang bukan tradisional seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Pakistan, negara-negara di Asia Tengah seperti Kazakhstan dan Uzbekistan, negara-negara di Amerika Selatan seperti Brazil, Peru dan Mexico serta negara-negara di benua Afrika.
“Memberi galakan kepada industri tempatan untuk meningkatkan penggunaan sumber domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan-bahan mentah dari luar negara. Langkah ini termasuk mengutamakan sumber bekalan dari rantau ASEAN melalui pendekatan “nearshoring” bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan.
“Melaksanakan inisiatif-insiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang merangkumi strategi bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan industri tempatan dalam mendepani krisis ekonomi atau kesihatan global pada masa hadapan.
“Merundingkan beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas baharu seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada; rundingan naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China untuk membuka pasaran bagi eksport Malaysia yang lebih stabil dan kompetitif, antara lainnya melalui peraturan pentadbiran yang lebih seragam dan pengurangan prosedur kastam serta menarik pelaburan berkualiti ke Malaysia,” ujar beliau.
Katanya pelaksanaan strategi-strategi tersebut telah membuahkan hasil dalam mengukuhkan hubungan perdagangan sedia ada dan menarik pelabur asing serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang berwibawa untuk jangka masa yang panjang. – UMNO Online