Politikkan Cuti Hari Ahad… Mohd Puad Bidas Pas Johor

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas tindakan Pas Johor yang mempolitikkan isu cuti hari Sabtu dan Ahad di Negeri Johor.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut mengingatkan Pas untuk tidak hipokrit kerana masih banyak lagi tinggalan penjajah yang turut diterima dan dipakai mereka.

“Pas Johor dakwa cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah. Pas jangan hipokrit. Banyak tinggalan penjajah yang Pas sendiri terima dan guna pakai.

“Terutama dalam sistem politik dan pentadbiran negara. Perlembagaan negara adalah peninggalan penjajah (Lord Reid). Tetapi itu tidak menyekat syiar dan syariat Islam berkembang pesat.

“Islam tetap agama persekutuan. Sebab itu Pas tidak berani mendakwa Malaysia negara sekular. Justeru kenapa politikkan isu cuti hari Ahad? Ia tidak membabitkan aqedah seseorang,” katanya.

Jelasnya, Pas tidak sepatutnya memutarbelitkan isu tersebut kerana ia tidak menjejaskan maslahah Islam di negara ini.

“Sudah berkurun orang Islam laksana Ibadah puasa waktu bekerja. Pejabat tidak perlu ditutup sepanjang bulan Ramadhan. Apa guna cuti jika tidur sehingga terlepas solat Jumaat.

“Apa pun peraturan selagi maslahah Islam terpelihara maka jangan putar belit. Apabila Pas sertai pilihan raya, calon kena bayar wang pertaruhan.

“Apakah itu judi? Pas kata boleh demi maslahah untuk dapat kuasa. Tanpa kuasa Islam tidak memerintah,” katanya.

Pada Rabu media melaporkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mohd Mazri Yahya mendakwa cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad adalah peninggalan penjajah.

Beliau selari dengan pendirian Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang tidak bersetuju cuti mingguan di Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.

Yang Dipertua Pas Kawasan Johor Bahru itu berkata, sekiranya kerajaan negeri sudah nekad untuk menukar cuti mingguan di Johor atas desakan ekonomi, beberapa perkara dicadangkan bagi mengekalkan budaya Johor terus dimartabatkan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.