KPT Peka… Pastikan Graduan TVET Berkemahiran, Ada Nilai Tambah – Zambry
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa peka untuk memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkemahiran dalam bidang dipelajari di samping mempunyai kemahiran lain sebagai nilai tambah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerjasama antara institusi dan industri amat penting kerana kedua-duanya saling memerlukan dalam memenuhi pasaran luar.
“Kerjasama antara institusi dan industri sangat penting. Kedua-duanya saling mengimbangi dan memerlukan dalam memenuhi pasaran di luar.
“Saya telah hadir ke Kulim Hi-Tech Park (KHTP) pada Isnin untuk mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi melawat ke sekitar KHTP dan industri yang beroperasi.
“Ini juga merupakan salah satu usaha dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan industri semasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, tahap kemahiran graduan terutamanya lepasan TVET perlu seiring dengan keperluan dan kehendak industri.
“Turut diadakan sesi dialog bersama pihak industri bagi memastikan KHTP terus terus bergerak menjadi salah satu pusat teknologi peridustrian utama negara.
“Isu tenaga mahir dalam bidang kritikal seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta beberapa kursus yang lain tetap menjadi perhatian kerajaan, agensi berkaitan sedang membangunkan usaha bagi memenuhi kehendak pasaran ini.
“Isu utama lain juga ialah tahap kemahiran graduan kita yang perlu seiring dengan kehendak industri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa satu sekretariat akan diwujudkan untuk mengumpulkan para pemain industri dan semua pemegang taruh bagi menyelaras aspek tenaga kerja berkemahiran.
“Timbalan Perdana Menteri juga mengarahkan untuk diwujudkan satu sekretariat tetap yang merangkumi KHTP, pemain industri, institusi pengajian TVET dan semua pemegang taruh berkaitan untuk menyelaras aspek tenaga kerja berkemahiran serta kelengkapan infrastruktur asas di sini.
“Melalui sekretariat ini, semua Institut TVET, khususnya yang berkaitan dengan KHTP dan MTUN akan dapat berhubung secara langsung dengan sektor industri. Ini adalah langkah penting untuk memastikan bahawa latihan yang diberikan kepada pelajar adalah relevan dan selaras dengan keperluan semasa industri.
“Sebagai salah satu kementerian yang menggerakkan program TVET, KPT sentiasa peka dalam memastikan graduan TVET bukan sahaja berkemahiran dalam bidang hang dipelajari, malah mempunyai kemahiran lain yang boleh dijadikan ‘additional value’ dan kelebihan kepada graduan,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan satu sekretariat tetap akan ditubuhkan bagi mengatasi ketidakcukupan pekerja mahir dan profesional sekali gus memenuhi permintaan industri di KHTP.
Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekretariat itu juga akan mengkoordinasikan keperluan guna tenaga berkemahiran selari dengan kehendak pasaran.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) berkata, ia antara langkah diambil bagi mengatasi beberapa isu yang telah dibangkitkan termasuk keperluan dan kemampuan tenaga kerja teknikal di Malaysia khususnya di KHTP. – UMNO Online