Teruskan Tradisi BN Sebagai ‘Yang Berkhidmat’, Tolak Taktik Kotor Dalam Kempen – Dr Zambry
KLUANG, 25 Sept – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa tradisi BN adalah menyediakan YB bukan hanya ‘Yang Berhormat’ tetapi adalah ‘Yang Berkhidmat’ iaitu melaksanakan amanah untuk bekerja kepada rakyat.
Justeru katanya, semua pihak jangan terperangkap dengan permainan, taktikal, strategi pihak lawan yang cuba untuk menghalang pengundi memilih yang terbaik dengan mengelirukan masyarakat melalui pelbagai taktik kotor memburukkan BN dan calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah.
Ujarnya yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, atas jenama BN, ada barisan calon-calon yang baik dan memilih yang terbaik bagi mewakili parti untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Alhamdulillah gerak kerja kempen adalah mantap dan melibatkan semua peringkat dalam BN dan UMNO dengan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan juga amat baik, sama ada dalam BN atau dalam PH sendiri. Saya lihat dari segi perhubungan UMNO Negeri dan negeri-negeri angkat yang datang, ada gerak kerja yang begitu baik.
“Syed Hussien mewakili kita semua. Calon ini adalah calon BN dan alhamdulillah kita lihat semua peringkat termasuk Wanita bersama-sama jentera lain bekerja keras hingga ke saat ini untuk memenangkan parti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan malam tadi melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.
Jelas Dr Zambry, para pengundi perlu waspada supaya tidak terperangkap dalam permainan pihak lawan sebagaimana mereka meletakkan label-label yang mereka reka dan disebarkan sendiri.
“Jangan terperangkap dalam ‘framework’ mereka lantas mereka tak akan kemana… teruslah berhati-hati agar tidak terjerumus dalam permainan ini.
“Bagi mereka yang telah terbiasa dalam cara itu maka tak akan keluar dari kepompong negatif sedangkan dalam konteks BN kita seringkali bawa mesej-mesej jelas sebagaimana pembangunan yang kita tawarkan.
“Kerana itu ada yang mengatakan BN tidak agresif iaitu memaki hamun orang kerana agresif bagi BN adalah dari segi pembangunan, kemajuan dan lain-lain. Sebenarnya, lagi mereka menyerang maka lagi banyak kekuatan yang terbina dalam kalangan kita.”
Berkaitan dengan DUN Mahkota, Dr Zambry menekankan pentingnya ia kekal bersama BN selaku kerajaan Negeri dan selari juga dengan pentadbiran kerajaan Perpaduan di peringkat pusat agar kesinambungan perancangan pembangunan dapat diteruskan.
“Brand kita adalah atas nama BN. Kita menawarkan seorang calon yang terbaik untuk mewakili BN di Mahkota.
“Johor amat memberangsangkan di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, orang muda yang ada wawasan dan semangat yang baik, jumlah pelaburan yang baik dan sentiasa menjadi simbol pembangunan kepada Negeri Johotr sendiri.
“BN berbangga dengan pencapaian ini dan tentunya semangat ini adalah satu langkah yang amat baik sekali. Pelbagai perancangan telah dibuat dan perlu diteruskan maka perlunya wakil rakyat yang sama-sama berkongsi wawasan untuk Maju Johor,” ujarnya lagi.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UMNO Online