Gesa Ahmad Zahid Bercuti: Pas Masih Tak ‘Move On’ Pembentukan Kerajaan Perpaduan – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin beranggapan bahawa Pas masih tidak ‘move on’ mengenai isu pembentukan kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu.

Tegasnya, tindakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggesa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti untuk memberi ruang siasatan adalah tidak wajar.

“Jika Ahmad Zahid perlu diberikan cuti, kenapa tiada seruan supaya Muhyiddin, Hamzah Zainuddin, Wan Saiful, Sanusi, Mohd Shukri Ramli juga perlu bercuti kerana masih berhadapan dengan pelbagai kes rasuah, hasutan, 3R (raja, agama, bangsa) dan lain-lain.

“Kenapa seruan Tuan Ibrahim hanya dihalakan terhadap Ahmad Zahid? Alangkah tidak adil apabila gesaan itu hanya dibuat terhadap pihak lawan tapi tidak pula dibuat terhadap ‘geng’ sendiri.

“Saya ingin menggesa kepada Tuan Ibrahim supaya beliau turut memberi gesaan cuti terhadap pemimpin PPBM dan Pas sendiri yang sedang menghadapi kes di mahkamah dan juga yang sedang disiasat. Sebagai contoh, Sanusi yang sedang naik turun mahkamah apabila dituduh berkaitan kes 3R dan Mohd Shukri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes pecah amanah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, Tuan Ibrahim menggesa agar Ahmad Zahid bercuti kerana terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Dalam kes Ahmad Shukri, tak kurang daripada Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Hashim Jasin sendiri yang mempertahan Menteri Besar Perlis untuk tidak melayan gesaan supaya meletakkan jawatan malah gesaan itu disifatkannya pula sebagai tidak berasas.

“Dalam kenyataan Tuan Ibrahim juga, beliau menyebut Ahmad Zahid perlu bercuti supaya disiasat kerana terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Menurutnya, semua calon Barisan Nasional (BN) perlu menandatangani kontrak dengan rela hati sekiranya ingin bertanding pada PRU ke-15 yang lalu dan ia telah berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil waktu ini.

“Rupanya Tuan Ibrahim dan Pas masih tidak ‘move on’ dalam isu pembentukan kerajaan selepas PRU ke-15. Untuk pengetahuan Tuan Ibrahim, semua calon BN perlu menandatangani kontrak dengan rela hati, tanpa dipaksa.

“Kontrak itulah yang memberikan kuasa kepada Presiden UMNO untuk mewakili semua Ahli Parlimen BN dalam mana-mana rundingan pembentukan kerajaan. Langkah ini terbukti sangat efektif apabila Kerajaan Perpaduan yang dibentuk terbukti sangat stabil dan tidak goyah seperti kerajaan sebelum ini.

“Secara peribadi saya melihat kenyataan Tuan Ibrahim dan Pas hanya menunjukkan mereka sakit hati melihat UMNO membentuk kerajaan manakala Pas yang memenangi banyak kerusi tapi gagal mencari strategi untuk membentuk kerajaan pasca-PRU ke-15,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat bahawa Ahmad Zahid perlu diberikan cuti bagi memberi laluan kepada siasatan bebas terhadap dirinya sehingga selesai.

Beliau yang mengalu-alukan sikap terbuka Ahmad Zahid untuk disiasat berhubung dakwaan terdapat unsur memperdaya Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagaimanapun merasakan tidak mungkin seseorang dapat disiasat sepenuhnya ketika masih memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.