Kerajaan Negeri Kedah Dilihat Tidak Bersedia Laksana TMK 2025 – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerajaan Negeri Kedah dilihat tidak bersedia untuk melaksanakan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

Menurutnya, untuk melaksanakan program mega dalam tempoh setahun itu agak mustahil meskipun Kerajaan Negeri Kedah mengatakan mereka telah bersedia.

“Saya ada menyaksikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini dan saya ingin mengulas mengenai Portfolio Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin dan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025. Secara jujurnya saya bersetuju nak laksanakan TMK ini sebab lebih ramai pelancong akan datang ke Kedah.

“Baru mereka nampak betapa hebatnya ‘Greater Kedah’ ini dan boleh menilainya sendiri. Cuma, saya sedikit musykil kepada beliau sebab saya nampak macam tak ‘prepare’ untuk mengadakan TMK 2025 ini.

“Semasa umum pada bulan Jun lalu ada orang kritik promosi TMK ini dikatakan dah terlewat. Sebenarnya bukan mudah nak buat ‘event’ dalam tempoh setahun tetapi kerajaan negeri mengatakan mereka dah bersedia. Masa umum haritu kata nak lancar bulan Julai tapi ia dilancarkan pada 10 Ogos,” katanya menerusi hantaran video yang dimuatnaik menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, terdapat banyak lagi masalah di Negeri Kedah yang belum dapat diselesaikan untuk menghadapi TMK 2025 ini termasuk tiada perancangan menyeluruh.

“Saya juga lihat tiada perancangan menyeluruh. Di Kedah ini terdapat pelbagai lagi masalah. Masalah air dah selesai ke? Berapa buah Loji Rawatan Air (LRA) dah siap? Kadar ‘non renewable water’ (NRW) macam mana? Itu baru perkara asas belum sebut lagi mengenai persediaan. Dah ada berapa banyak program sepanjang tahun depan?

“Adakah kerajaan negeri telah merancang kalendar selama setahun sempena TMK ini? Ada tak program yang boleh memberi impak dan ‘wow factor’ dan belum dilaksanakan oleh negeri lain? Kalau baru nak senaraikan, nampak sangat exco tersebut tidak bersedia. Sekarang ini cuma tinggal empat bulan, saya risau ia akan memberikan ‘bad experience’ kepada pelancong yang bakal datang ke Kedah.

“Sepatutnya beliau dah keluarkan kalendar TMK 2025 ini semasa pelancaran tempoh hari. Tetapi sampai sidang DUN baru-baru ini, ‘bayang’ kalendar pun tak nampak. Saya pernah ada pengalaman melihat kepimpinan sebelum ini… nak buat TMK ini perancangannya sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sebelum,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat merendah-rendahkan pelancong ‘low end’ dan ‘backpackers’.

“Apabila disebut TMK, saya tidak mahu beliau (exco) kerap menyebut nama Langkawi. Langkawi ini, kalau kita tidak menganjurkan apa-apa program pun, orang luar akan selalu datang. Macam-macam telah disediakan oleh kerajaan pusat khususnya Barisan Nasional (BN) untuk pelancong sebelum-sebelum ini.

“Beliau mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah memberikan RM9.2 juta kepada Lembah Bujang. Itu belum termasuk lagi untuk tempat-tempat lain. Banyak nampaknya yang kerajaan pusat bantu sektor pelancongan di Negeri Kedah ini. Tapi apabila buat pelancaran TMK, mereka tidak menjemput barisan kepimpinan kerajaan pusat.

“Saya musykil juga apabila MB cakap TMK 2025 ini target pelancong ‘high end’. Kutuk pula pelancong ‘low end’ ataupun ‘backpackers’ sebagai ‘bagi semak sahaja’. Adakah ini cara untuk memuliakan tetamu? Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada exco kita untuk TMK 2025. Beliau kena ingat yang kita nak buat Tahun Melawat Kedah, bukan Tahun Malukan Sanusi,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.