Siapa Dajjal Menurut Presiden PAS?
1. DAJJAL satu kata nama khas dan kata sifat yang tersebut begitu banyak dalam Hadis-hadis Rasulullah (saw).
2. Dajjal sebagai kata nama khas merujuk kepada satu makhluk yang akan keluar sebagai petanda akhir zaman, kuat menipu dan berbohong dan mengelirukan kebenaran serta menguji keimanan orang-orang beriman ketika itu dengan menjanjikan syurga palsu dan menakutkan dengan neraka palsu sehingga ramai yang mengikutnya namun akhirnya dibunuh oleh Nabi Isa alaihissalam yang akan diturunkan oleh Allah ke dunia.
(Rujuk antaranya Hadis Muslim no 5222 dan 5233)
3. Adapun Dajjal sebagai kata sifat merujuk kepada pembohong dan pereka cerita dan berita palsu yang semakin banyak berkembang di akhir zaman. Mereka menghidangkan pelbagai cerita palsu yang enak didengar oleh telinga bagi mengelirukan masyarakat.
Nabi (saw) bersabda:
يَكونُ في آخِرِ الزَّمانِ دَجَّالُونَ كَذَّابُونَ، يَأْتُونَكُمْ مِنَ الأحادِيثِ بما لَمْ تَسْمَعُوا أنتُمْ، ولا آباؤُكُمْ، فإيَّاكُمْ وإيَّاهُمْ، لا يُضِلُّونَكُمْ، ولا يَفْتِنُونَكُمْ
“Akan ada di akhir zaman “dajjal-dajjal” yang kuat berbohong yang mendatangkan kepada kamu pelbagai bicara yang tidak pernah didengar oleh kamu mahupun nenek moyang kamu. Maka berhati-hatilah kamu dan jauhilah mereka (agar) mereka tidak menyesatkan kamu semua dan tidak juga mencetus fitnah (ujian mengelirukan) pada kamu”
(Hadis riwayat Muslim no 7)
Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, perkataan “dajal” bermaksud menutup, mengaburi dan berbohong”. Kata al-Aabaadi, ia bermaksud “mengelirukan”. Menurut Imam Nawawi pula ia merujuk pada “menyembunyikan”.
Justeru, “dajjal” adalah pembohong, pereka cerita palsu dan berita-berita yang mengelirukan dan menyembunyikan kebenaran.
4. Presiden PAS dalam tulisan terkini beliau melabelkan parti kerajaan termasuk UMNO sebagai lebih daripada “Dajjal” kerana kononnya menggunakan “kebendaan” sebagai alat mendapatkan sokongan politik.
5. Dalam politik Islam, pembangunan fizikal untuk rakyat adalah kewajipan kerajaan yang memerintah. Ia adalah prinsip asas dalam Politik Islam. Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menegaskan prinsip ini.
Dalam persaingan pentas demokrasi moden pula, kejayaan dalam menguruskan pembangunan negara perlu menjadi cagaran bagi rakyat menilai kejayaan sesebuah kerajaan. Sekiranya mempromosi kejayaan pembangunan fizikal kepada rakyat dianggap sebagai “kebendaan” yang dipromosi oleh “Dajjal” maka saya berpandangan Presiden PAS mempunyai kefahaman yang mengelirukan dalam memahami “Politik dan Pemerintahan Islam” meskipun beliau berkelulusan Sarjana Siyasah Syar’iyyah.
Adakah kegagalan pengurusan air untuk rakyat di Kelantan dan kelesuan pembangunan fizikal rakyat Terengganu sejak PAS mengambil alih Terengganu pada 2018 berpunca daripada kefahaman yang keliru ini terhadap konsep pembangunan dalam Politik Islam?
Moga kita dijauhkan daripada sifat “Dajjal” yang kerjanya menimbulkan pelbagai kefahaman yang mengelirukan tentang Islam.
6. Presiden PAS juga melabelkan kerajaan Perpaduan sebagai lebih daripada “Dajjal” kerana dituduh membeli sokongan rakyat.
Presiden PAS terlupa bahawa kemenangan ahli parlimen PAS di Kemaman dibatalkan oleh Mahkamah Pilihanraya pada 26 September 2023 kerana menurut Hakim terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada calon PAS.
Begitu juga kemenangan ahli parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan oleh Mahkamah Pilihanraya pada 27 jun 2023 dengan alasan yang sama iaitu kerana wujudnya unsur rasuah dalam kempen pilihanraya umum ke 15.
Ini bukan tuduhan tetapi perakuan oleh Mahkamah Pilihanraya. Justeru, siapakah Dajjal sebenarnya?
7. Ada di kalangan ahli politik sepanjang PRK Nenggiri malah sebelumnya lagi mencipta dan mereka-reka pelbagai pembohongan dan berita palsu bagi mencipta pelbagai persepsi terhadap saingan politik. Surat layang dijadikan modal berbahas di Dewan Parlimen sehingga seorang ahli parlimen PN diusulkan untuk digantung selama 6 bulan.
Tidakkah sifat sebegini menepati ciri dan sifat “Dajjal” sebagaimana disebut oleh Rasulullah (saw)? Tepuk dada tanya ilmu dan iman.
8. Akhirnya, saya menyeru YB Presiden PAS bersama membina politik damai untuk kesejahteraan bersama. Politik gelar-menggelar, tuduh menuduh, mempersenda dan mencela saingan politik sesama Islam tidak sewajarnya dijadikan amalan untuk diikuti oleh pengikut dan pendokong kerana ia bercanggah dengan Islam sebagaimana panduan dalam Surah al-Hujurat Ayat 11.
Sebagai ilmuwan Islam kita mempunyai tanggungjwab memperkenalkan politik akhlak dan politik persaudaraan apatah lagi Presiden bagi sebuah parti berjenama Islam.
Sekian.
Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Timbalan Pengerusi, Majlis Ulama UMNO