Perkongsian Kuasa Mestilah Berteraskan Empat Prinsip Pendirian UMNO – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tegas berkata perkongsian kuasa dalam menjalinkan kerjasama menubuhkan kerajaan mestilah berasaskan kepada empat prinsip pendirian UMNO dengan mewajibkan semua pihak menerima keindukan Melayu dan Islam serta kemajmukan negara.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, prinsip tersebut ialah kesucian agama Islam, hak-hak orang Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan Bahasa Melayu tidak ada kompromi.
“Semasa pembentukan Barisan Nasional (BN) 50 tahun lalu, inilah juga pendirian UMNO. Kita katakan kepada parti Gerakan dan PPP ketika itu yang agak keras mahukan hak sama rata di negara kita.
“Penegasan ini jugalah kita nyatakan kepada Dap dua tahun lalu. Kalau syarat ini boleh diterima kita boleh bekerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) 2.0 di mana Dap ada di dalamnya.
“Kita tegas dalam pendirian ini, malah jika kerjasama politik masa depan kita turut melibatkan mana-mana pihak lain, kita tidak akan goyah untuk menentukan empat perkara utama ini kita pertahankan dan UMNO akan pertahankan,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden, Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi dan barisan kepimpinan parti pelbagai peringkat.
Turut hadir kepimpinan parti komponen BN dan Friends of BN.
Selanjutnya, Ahmad Zahid juga berkata UMNO bersedia membuat keputusan politik menghentikan kerjasama jika terdapat mana-mana pihak yang mengganggu-gugat syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Suka saya tegaskan, seandainya dalam kita menjalin kerjasama dengan mana-mana parti jika martabat Islam dan perjuangan agenda Melayu, kedudukan Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kemajmukan rakan-rakan kita Barisan Nasional tercalar, kita tidak akan terima kerjasama dengan mana-mana parti.
“Kita tidak akan teragak-agak membuat keputusan politik untuk menghentikan kerjasama berkenaan,” tegas Pengerusi BN itu lagi di hadapan hampir tiga ribu perwakilan.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata perkongsian kuasa sudah tidak asing bagi negara ini.
“Seawal proses demokrasi negara mula diperkenalkan, melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Persekutuan pada 27 Julai 1955, Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.
“Walaupun kita bertanding atas satu parti gabungan, namun hakikatnya ia adalah model perkongsian kuasa yang kita bina. Rakyat pada ketika itu, telah menerima acuan perkongsian kuasa ini sebagai model yang diyakini untuk meneruskan perjalanan Persekutuan Tanah Melayu menuju kemerdekaan.
“Perkongsian ini dikembangkan lagi 50 tahun lalu, melalui penubuhan Barisan Nasional yang melibatkan 13 parti termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada MCA, MIC dan PBRS yang kekal setia.
Jelasnya lagi, selain perkongsian kuasa, BN adalah parti yang membawa suara sederhana yang menyatukan parti-parti politik berhaluan kanan dan kiri.
“Penyatuan inilah yang menjamin keindukan Islam dan Melayu terpelihara tanpa meminggirkan hak dan suara kaum-kaum lain. Inilah akar tunjang yang menjamin keamanan, kestabilan dan keharmonian hidup bernegara,” katanya.
Menurutnya lagi, model perkongsian kuasa BN cuba dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan pasca PRU-14 tetapi gagal.
“Namun perkongsian mereka tidak bertahan lama. Ini kerana melakukan perkahwinan muta’ah politik.
“Ini kerana prinsip perkongsian mereka dipenuhi dengan percaturan politik dan rasa saling tidak percaya berlaku di kalangan mereka yang akhirnya menyaksikan selama lima tahun dalam keadaan ketidak-stabilan, malah Parlimen digantung,” ujarnya.
Menyentuh perkara yang berkaitan, Ahmad Zahid berkata perkongsian kuasa membentuk kerajaan campuran bukanlah fenomena baharu bagi politik dunia kerana lebih 70 negara seperti Jerman, Itali, Perancis dan Belanda telah menerima pakai model tadbir urus ini sebagai cara untuk memandu landskap politik yang kompleks.
“Kerajaan campuran dibentuk apabila tiada satu parti pun mendapat majoriti di Parlimen dan memerlukan kerjasama rentas parti untuk mewujudkan sebuah kerajaan. Perkongsian kuasa ini lazimnya memerlukan kompromi terhadap idealisme, agenda atau prinsip perjuangan sesebuah parti.
“Terdapat dua bentuk kerajaan campuran. Pertama, melibatkan gabungan ‘pre-election’ atau pra-pilihan raya dan kedua bergabung selepas pilihan raya. Malah, ada gabungan berjaya mewujudkan sebuah kerajaan yang mutlak atau ‘super-majority Government’,” katanya.
Begitu juga ujar Ahmad Zahid, negara-negara yang mempunyai sejarah pemerintahan parti tunggal suatu ketika dahulu menyaksikan peralihan bentuk kerajaan seperti Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun dan BJP di India bergabung dengan parti lain untuk memerintah. – UMNO ONLINE