Pembangkang Kehabisan Modal, Bergantung Pada Fitnah – Mohamad
GUA MUSANG, 11 Ogos – Isu fitnah dan memburukkan pemimpin UMNO/Barisan Nasional (BN) kini menjadi topik hangat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin mengecam keras tindakan pihak pembangkang yang didakwa menggunakan fitnah sebagai strategi utama mereka.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri menyatakan bahawa pembangkang telah kehabisan isu untuk diketengahkan kepada pengundi dan kini memilih jalan mudah dengan menyebarkan tuduhan palsu dan tidak berasas terhadap UMNO/BN.
“Saya terkilan cara kempen pihak pembangkang kerana tidak ada modal. Modal apa yang ada pada hari ini? Tidak ada… hanya modal fitnah, menghentam, memburukkan pemimpin UMNO/BN tanpa bukti yang kukuh dan sahih serta tanpa sebarang penjelasan konkrit.
“Kita harus memilih pemimpin, parti dan wakil rakyat yang benar-benar berkerja untuk kebaikan rakyat. Bukan hanya mendapatkan kuasa tapi akhirnya tiada hasil yang dibawa pada rakyat dan hanya ada fitnah berterusan serta memburukkan para pemimpin UMNO/BN. Budaya fitnah ini harus dijauhkan.
“Ini menggambarkan bahawa pembangkang tidak ada isu yang boleh dibawa oleh mereka untuk menyakinkan rakyat di DUN Nenggiri ini. Berbeza dengan BN, berkerja sehingga mendapatkan hasil yang baik dan rakyat mendapat hasil tersebut. Ia cukup berbeza dengan pembangkang yang hanya berkempen fitnah dan menggambarkan bahawa rakyat di DUN Nenggiri ini mesti membuat keputusan yang tepat,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) RKT Renok Baharu, Nenggiri, di sini.
Tegas Ketua UMNO Bahagian Kimanis lagi, politik UMNO/BN tidak serupa seperti pembangkang yang menanam kebencian, fitnah dan adu domba di kalangan rakyat.
“Ini mesti dijauhi. Negara ini mengamalkan demokrasi yang hebat dan harus menanamkan budaya gaya politik sihat, matang dengan memberikan penerangan, penjelasan dan hujah-hujah diterima oleh rakyat.
“Bukannya UMNO/BN ini suka memburuk-burukkan pemimpin seperti fitnah tanpa bukti dan ini satu budaya yang amat tidak sihat. Kita harus jauhkan dari parti yang mengamalkan budaya fitnah dan memburuk-burukkan pada hari ini,” ujarnya.
Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online