Dr Asyraf Sangkal Tuduhan PN Kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera Kini Terancam

BALIK PULAU, 24 Julai – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyangkal tuduhan Perikatan Nasional (PN) yang sering memomok-momokkan bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu/Bumiputera terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

Kata Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu, sehingga kini semua parti yang menaungi kerajaan masih berpegang teguh kepada pasak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama sekali kena tanya mereka benarkah Islam terancam, agenda Melayu terancam… bahkan 19 bulan Kerajaan Perpaduan di mana tunjangnya adalah masih Melayu/Islam yang dipelopori UMNO.

“Hari ini kita dapat lihat 19 parti-parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan masih berpegang kepada perjanjian yang disepakati bersama bahawa dalam apa jua keadaan negara ini mesti berpegang kepada pasak-pasaknya iaitu Islam agama Persekutuan jangan diganggu-gugat, kedudukan Melayu/Bumiputera tidak diganggu, kedudukan Raja-Raja Melayu juga tidak diganggu.

“Sepanjang 19 bulan ini kita dapat lihat tidak ada masalah dalam konteks itu, kalau ada pun (hanya) sedikit sebanyak perbezaan pandangan ia diselesaikan secara baik dalam suasana musyawarah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Jelas Dr Asyraf lagi, apa yang paling penting keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan pada hari ini dapat dibuktikan dengan banyak agenda untuk memelihara serta mempertahan kepentingan orang Melayu/Bumiputera dan agama Islam telah dilaksanakan.

Sebagai contoh tambah Dr Asyraf ialah seperti dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Dasar Tahfiz Negara dan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig.

“Contohnya di bawah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi-Presiden UMNO), beliau sendiri yang mengepalai dasar TVET negara.

“Hakikatnya memberikan manfaat kepada anak-anak Melayu yang tercicir daripada arus perdana pendidikan. Lebih daripada 300 ribu yang tak dapat tempat di universiti tetapi melalui dasar TVET negara, melalui inisiatif Yang Amat Berhormat Presiden parti sendiri kita dapat lihat masa depan mereka terjamin dan terpelihara.

“Kedua, Dasar Tahfiz Negara. Ini juga adalah untuk agenda Islam. Kita tak mahu anak-anak kita yang seramai lebih 250 ribu orang yang tidak ada sijil di mana masa depan mereka ini. Tetapi melalui Dasar Tahfiz Negara, dengan ada program-program kemahiran dan sebagainya sudah tentu ini akan memainkan peranan,” kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu lagi.

Begitu juga katanya dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig, fokus membela anak muda yang bergiat aktif dalam e-hailing dan p-hailing.

“Presiden UMNOlah juga yang mengepalai Suruhanjaya Majlis Gig Malaysia. Ini semua ada sebahagian daripada agenda apa? Agenda untuk pertahankan Melayu/Bumiputera dan juga tanah air,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Dr Asyraf juga berkata bagi tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepada Bahagian Pendidikan Islam di bawah Kementerian Pendidikan dan RM1.9 bilion bagi hal ehwal agama Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Malahan ujarnya, MARA juga memperuntukkan sebanyak RM2 bilion setiap tahun untuk kepentingan pendidikan anak bangsa. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.