UMNO Melaka, ADUN Rembia Masing-masing Ada Hak Prerogatif – Azalina
BUTTERWORTH, 21 Julai – Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis mempunyai hak prerogatif masing-masing dalam isu lompat parti yang berlaku di negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara demikian kini dalam tindakan UMNO Negeri Melaka dari sudut perundangan.
“Seperti disebutkan oleh Ketua Menteri (Melaka-Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) ini adalah urusan parti untuk menyelesaikan masalah ini.
“Mereka perlu menyelesaikannya, maka kita tinggalkan kepada Perhubungan UMNO Melaka dan juga peguam masing-masing,. Maksud saya ia merupakan prerogatif mereka (UMNO Melaka dan Jailani) dan hak mereka untuk masuk ke mahkamah,” kata Azalina ketika ditanya mengenai kenyataan Jailani yang mendakwa dirinya tidak terikat dengan sebarang perjanjian apabila mengisytiharkan keluar UMNO dan menyertai Pas.
Azalina berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini hari ini.
Terdahulu, Dr Asyraf dalam satu video yang disiarkan di Facebooknya menyatakan Jailani akan berdepan dengan tindakan perundangan kerana telah melanggar Perjanjian Perwakilan Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Melaka yang ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah dan saksi.
Jelas Dr Asyraf, Jailani dikenal pasti membuat pelanggaran ke atas akaun bersumpah yang menetapkan setiap calon mewakili BN perlu membayar RM100 juta seperti dinyatakan dalam fasal 6.2, jika melompat parti atau bertukar Haluan daripada menyokong BN, UMNO, MIC dan/atau MCA, termasuk menjadi ADUN Bebas.
Sementara itu, dalam perkembangan yang berlainan, Azalina yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata satu pasukan khas yang melibatkan empat kementerian akan ditubuhkan bagi membincangkan mengenai pindaan Kanun Keseksaan untuk membanteras buli siber.
Menurutnya, empat Kementerian terbabit adalah kementeriannya, Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri dan mereka memperhalusi pindaan akta pada sesi Dewan Rakyat Oktober nanti.
Jelas Azalina, pindaan itu perlu dibuat bagi memastikan peruntukan jenayah siber buli dapat dikuatkuasakan secara efektif di negara ini.
Terdahulu dilaporkan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri sedang mempertimbangkan saranan meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) bagi membanteras gejala buli siber. – UMNO ONLINE