RUU Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak Buka Ruang Kondusif Kurangkan Trauma – Azalina

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kerajaan Madani sentiasa menambah baik perundangan sedia ada termasuk Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 yang dipinda untuk mengadakan peruntukan bagi kedua-dua peruntukan substantif dan peruntukan tatacara mengenai keterangan saksi kanak-kanak dan Akta 676 akan menjadi perundangan utama yang memberikan tumpuan mengenai keterangan saksi kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata usaha ini membuka ruang bagi saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam keadaan yang lebih kondusif kepada keperluan mereka, lantas mengurangkan trauma yang dihadapi.

“Pindaan-pindaan yang dibuat ini bukanlah satu titik nokhtah kepada reformasi undang-undang berhubung dengan penglibatan kanak-kanak dalam sistem keadilan negara.

“Pada Mac 2023 yang lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan kepada Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] termasuklah bagi menggantikan istilah ‘pornografi kanak-kanak’ dengan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak’, selaras dengan global standards; kedua, untuk mengadakan peruntukan kesalahan persembahan kanak-kanak yang berunsur seksual; dan ketiga bagi mengadakan peruntukan berkenaan dengan perintah pampasan,” katanya.

Azalina berkata demikian di pada bacaan kali yang kedua Rang Undang-Undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata pindaan ini telah mula berkuat kuasa pada 11 Julai 2023 namun katanya, rata-rata prosedur keadilan jenayah yang sedia ada tidak bersifat mesra kanak-kanak kerana masih wujud tatacara yang tidak adil terhadap kanak-kanak yang menyukarkan mereka untuk memberi keterangan, sungguhpun bila mereka merupakan mangsa jenayah.

Menurut beliau perkara ini menyebabkan kes di mahkamah terpaksa dilepas tanpa dibebaskan atau Discharge Not Amounting to an Acquital (DNAA) dan menyebabkan keadilan tidak dapat dicapai.

Sebagai contohnya kata beliau ia berdasarkan sampel kes daripada Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Langkawi berkenaan dengan kes jenayah seksual kanak-kanak, pada tahun 2020, sebanyak 19 kes jenayah seksual kanak-kanak telah didaftarkan namun, sebanyak 12 kes daripada jumlah itu telah mendapat perintah DNAA.

“Begitu juga dengan trend sampel kes bagi tahun-tahun berikutnya di mana pada tahun 2021, terdapat 10 kes yang didaftarkan dengan 7 kes DNAA. Bagi tahun 2022 dan 2023, masing-masing terdapat dua kes yang didaftarkan dengan satu kes DNAA.

“Situasi sebeginilah yang telah mendorong kerajaan ini yang sentiasa cakna terhadap keperluan semasa untuk mengambil langkah progresif bagi membuat pindaan sewajarnya kepada undang-undang,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.