PKPS 2.0: Perluaskan Jaringan Bayar Cukai, Pematuhan Dan Tingkat Hasil Kutipan Negara

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 merupakan inisiatif kerajaan yang diumumkan pada belajawan 2023 bagi tujuan memperluaskan jaringan bayar cukai, meningkatkan pematuhan bayar cukai dan seterusnya meningkatan kutipan hasil negara.

Menurutnya, PKPS 2.0 dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan tawaran penalti dengan kadar 0 peratus bagi pengakuan sukarela yang dibuat oleh individu dan syarikat dalam tempoh mulai 6 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024.

“PKPS 2.0 di bawah LHDN memberi peluang kepada pembayar cukai baharu dan sedia ada untuk tampil secara sukarela bagi melaporkan pendapatan pelupusan aset dan ‘stamping document’ yang telah disempurnakan selaras dengan syarat yang ditetapkan.

“PKPS 2.0 di bawah JKDM pula, pengikraran sukarela dipertanggungkan skop jualan cukai barang dan perkhidmatan, cukai pelancongan tertakluk pada syarat yang ditetapkan. Program ini telah memberi fasilitasi diluluskan penyertaannya untuk membuat bayaran secara sekaligus atau ansuran.

“Sepanjang PKPS 2.0 berlangsung permohonan yang diterima oleh LHDN dan JKDM menunjukkan sambutan yang menggalakkan dari pembayar cukai. Hasil cukai yang dikutip daripada PKPS, akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang disatukan sepertimana lain-lain hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan,” katanya.

Beliau menjawab persoalan daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin-BN) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan keberkesanan PKPS 2.0 yang bermula 06 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024, bilangan syarikat dan individu yang telah menyertainya serta nilai kutipan hasil yang berjaya diperoleh agar dapat dibelanjakan bagi tujuan kebaikan dan kebajikan rakyat.

Jelas Amir Hamzah lagi, pendapatan yang diperolehi akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan negara yang diluluskan oleh Parlimen melalui belanjawan tahunan, termasuk projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, jalan raya dan seumpamanya.

Pada masa yang sama beliau menjawab soalan tambahan dari Ketua UMNO Bahagian Tampin itu berkaitan usaha untuk memperluaskan program PKPS kepada JKDM untuk meningkatkan kesedaran syarikat untuk membayar cukai kepada kerajaan, sejajar dengan hasrat kerajaan melaksanakan e-invois sepenuhnya menjelang 2025 nanti.

“Tindakan ini menjadi pemangkin usahawan kecil dan sederhana untuk menjadi lebih berdaya saing serta mampu melatih mereka menjadi pembayar cukai yang berdisplin.”

Seterusnya kata Amir Hamzah, LHDN dan JKDM sentiasa melaksanakan usaha berterusan dalam meningkatkan tahap pematuhan cukai.

“Antara pendekatan utama yang dilaksanakan adalah dengan meningkat kesedaran awam dan memberi pendidikan mengenai kepentingan membayar cukai terhadap pembangunan negara.

“Menjalin kerjasama dengan ‘influencer’ dan selebriti melalui Program Rakan Strategik Hasil bagi membantu menyampaikan mesej percukaian secara ringkas, kreatif dan mudah difahami khususnya kepada pembayar cukai baharu dalam kalangan generasi muda. Memberi khidmat rundingan kepada individu dan perniagaan untuk mendapatkan nasihat dan panduan pengurusan cukai.

“Menjalankan aktiviti pemantauan secara berterusan di platform e-dagang dan media sosial untuk mengenal pasti dan memastikan golongan yang terlibat dengan model ekonomi digital turut mematuhi undang-undang percukaian dan menggunakan kaedah ‘nudging’ seperti penghantaran mesej digital melalui e-mel secara pukal atau secara spesifik kepada pembayar cukai yang mempunyai risiko ketidakpatuhan cukai,” katanya lagi.

Jelas beliau, kerajaan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar dan percukaian.

“Kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan GST lagi kerana ianya bersifat cukai kepenggunaan yang berasas luas dan dengan itu, bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula memandang ada antara rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.