Pindaan RUU Perkongsian Liabiliti Terhad Usaha Murni Kerajaan Gerakkan Agenda Perubahan

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Rang Undang-undang Perkongsian Liabiliti Terhad 2013 (Akta 743) (Pindaan) 2024 dilihat usaha murni dilaksana oleh pihak Kerajaan dalam menggerakkan strategi atau pendekatan bagi menyokong agenda reformasi atau transformasi memperkukuh kerangka tatakelola dan tadbir urus negara secara keseluruhan termasuk ekosistem sektor korporat.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) merupakan bentuk perniagaan di bawah Akta Perkongsian Libiliti Akta 743 yang mana terdapat 35,283 PLT aktif Setakat 10 Jun 2024 dalam daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Menurut beliau difahamkan pindaan RUU PLT ini terpaksa mengambil masa tiga tahun akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu dan beliau mengucapkan tahniah kepada kakitangan kementerian yang bertungkus-lumus menyempurnakan RUU ini.

“Pindaan kali ini dibuat bagi memastikan kerangka perundangan yang lebih kukuh ditawarkan kepada sektor korporat untuk tempoh jangka masa panjang dalam usaha menambah baik perundangan sedia ada serta peruntukan untuk menambah baik ketelusan dan tadbir urus selain menambah baik mekanisme penyelamat korporat atau rehabilitasi PLT yang menghadapi masalah kewangan.

“Pada masa ini Akta 743 tiada peruntukkan  pelaporan pemunya benefisial manakala pindaan ini dibuat  bagi menambah baik kerangka pelaporan pemunyaan benefisial bagi mengatasi jurang perundangan.

“Dalam usaha kerajaan mempertingkatkan ketelusan korporat  melalui penzahiran pemunyaan beneficial yang komprehensif serta memastikan Malaysia sentiasa bersedia dalam memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan untuk melindungi sistem kewangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-undang Perkongsian Liabiliti Terhad 2013 (Akta 743) (Pindaan) 2024, semalam.

Manndzri seterusnya menambah selaras dengan amalan terbaik dan piawaian antarabangsa bagi memerangi aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai seperti Financial Action Task Force (FATF) dan Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), inilah masanya untuk kita membuktikan kesediaan negara dalam menghadapi proses penilaian melalui kerangka pelaporan yang kukuh.

“Malaysia sedang dinilai FATF dan OECD bermula pada 2024 hingga Disember 2025 dan Malaysia menjadi ahli FATF sejak tahun 2016 merupakan suatu badan antarabangsa bebas  membangunkan piawaian antarabangsa bagi memerangi pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan.

“Sekiranya kita tak mematuhi penarafan yang ditetapkan oleh FATF dan OECD apakah kesannya? apakah kebaikan atau keburukan yang negara kita perolehi. Adakah ianya berisiko melemahkan ekonomi atau pelaburan di Malaysia dan mendatangkan kesan negatif atau menjatuhkan  reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa?

“Bagi kerangka menyerahsimpan pelaporan dan penzahiran maklumat pemunya benifisial, pindaan subseksyen 10(2) memperuntukkan tanggungjawab PLT mengemukakan laporan maklumat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai data berkaitan pemunya benefisial atau beneficial ownership,” ujarnya.

Beliau seterusnya membangkitkan persoalan apakah bentuk penyelarasan yang telah dibuat merentas kementerian dengan agensi penguat kuasa seperti  PDRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan SPRM  untuk memudahkan siasatan badan penguat kuasa atau penyiasat terhadap pihak atau individu yang berselindung ketika menjalankan jenayah dengan menggunakan entiti perniagaan / PLT?

“Berapakah jumlah kes pengubahan wang haram atau pembiayaan keganasan  direkodkan oleh pihak kementerian  melibatkan entiti PLT telah direkodkan,” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.