Rang Undang-Undang Akta Audit (Pindaan) 2024 Perkasakan Lagi Institusi Audit Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Rang Undang-Undang Akta Audit (Pindaan) 2024 bertujuan untuk memperkasakan Institusi Audit Negara meliputi pewujudan kuasa baharu dan perluasan tugas serta penambahbaikan dalam aspek perjalanan kuasa dan pelaksanaan mandat Ketua Audit Negara.

Menurut beliau Institusi Audit Negara telah wujud sejak tahun 1906 dan dengan sejarah hampir 118 tahun, Jabatan Audit Negara akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang dalam pengurusan wang awam negara.

“Akta Audit 1957 [Akta 62] telah dikuatkuasakan sejak tahun 1957, iaitu pada tahun apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Akta 62 menjelaskan tugas dan kuasa Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun Persekutuan, Negeri-Negeri dan pihak berkuasa awam dan badan yang ditentukan, selaras dengan Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan.

“Akta 62 telah dipinda sebanyak dua (2) kali, iaitu pada tahun 1978 dan 1991. Pindaan pada tahun 1978 adalah berhubung keperluan pengauditan prestasi yang menekankan aspek ekonomi, kecekapan dan keberkesanan di bawah perenggan 6(d) Akta 62. Manakala pindaan pada tahun 1991 adalah bagi memperuntukkan kuasa untuk meminda Jadual di bawah seksyen 11 Akta 62. Akta 62 yang sedang berkuat kuasa telah mencapai tempoh 33 tahun sejak tahun 1991.

“Sehubungan itu, Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 ini selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk menambah baik tatakelola negara dan akauntabiliti sektor awam serta selaras dengan perkembangan semasa dan mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat ketika bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Akta Audit (Pindaan) 2024, semalam.

Azalina seterusnya menambah cadangan pindaan itu meliputi dua skop utama iaitu pengukuhan akta melalui peruntukan baharu selaras dengan keperluan dan kehendak semasa dan peluasan bidang tugas Ketua Audit negara.

Tambahnya RUU mengandungi 5 Fasal yang melibatkan pewujudan dua seksyen baharu dan pindaan ke atas dua seksyen sedia ada.

“Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas Akta yang dicadangkan dan kuasa Menteri untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan. Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 5 Akta 62 untuk meluaskan kuasa Ketua Audit Negara untuk memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777], yang menerima jaminan kewangan yang diberikan oleh Persekutuan atau Negeri.

“Pindaan ini penting dengan mengambil kira terdapat banyak penglibatan Kerajaan dalam mana-mana badan dan syarikat termasuk persatuan dan organisasi bukan Kerajaan. Namun penglibatan Kerajaan tersebut dalam bentuk Jaminan Kewangan tidak diperuntukkan dalam peruntukan Akta 62 sedia ada.

“Takrifan “Jaminan Kewangan” adalah seperti yang ditakrifkan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] iaitu apa-apa jaminan yang diberikan di bawah subseksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61], seksyen 2 Akta Jaminan Pinjaman 1972 [Akta 66], subseksyen 2(1) Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 [Akta 96] dan seksyen 2 Akta Jaminan Pinjaman 1963 [Akta 412]. Pindaan di bawah Seksyen 5 ini juga akan mewujudkan suatu peruntukan baharu mengenai bidang tugas Ketua Audit Negara untuk melaksanakan pengauditan melalui pendekatan “follow the public money audit”, tertakluk kepada Kementerian Kewangan atas dasar kepentingan awam,” ujarnya.

Ujar beliau lagi Fasal berkenaan bertujuan untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016, yang menerima wang awam jika Menteri Kewangan berpuas hati bahawa kepentingan awam menghendaki akaun itu diperiksa, disiasat dan diaudit dengan segera oleh Ketua Audit Negara.

“Pindaan yang dicadangkan adalah mengikut pendekatan “audit mengikut wang awam” yang membolehkan Ketua Audit Negara mengesan jejak wang awam. Fasal 3 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 7A ke dalam Akta 62 untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan sebagaimana perlu atau suai manfaat bagi maksud menjalankan peruntukan Akta 62.

“Fasal 4 bertujuan untuk meminda subseksyen 9(4) Akta 62 untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk membuat syor untuk menangani apa-apa ketakteraturan yang serius yang telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawah pengauditannya. Fasal 5 bertujuan untuk memasukkan seksyen baharu 9A ke dalam Akta 62 untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa untuk menjalankan audit susulan untuk mengkaji semula tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, Negeri, pihak berkuasa awam atau badan yang ditentukan terhadap syor, ulasan atau pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara dalam laporan audit.

“Seksyen baharu 9A juga bertujuan untuk memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa mengemukakan laporan mengenai audit susulan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan boleh mengemukakan salinan laporan sedemikian kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri atau kepada Menteri,” tambahnya.

Tambahnya lagi Rang Undang-Undang Akta Audit (Pindaan) 2024 pastinya akan memberi impak positif terhadap pengukuhan peranan Jabatan Audit Negara melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam yang lebih komprehensif dan menyeluruh serta memastikan syor audit diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan MADANI bersungguh-sungguh dalam mengerakkan pelbagai usaha reformasi institusi yang signifikan secara berterusan melibatkan institusi Parlimen, perlindungan hak kanak-kanak dan mengiktiraf hak kekebasan maklumat rakyat.

“Kerajaan yang berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti ini, telah membentangkan Laporan Tahunan SUHAKAM 2020, 2021 dan 2022, serta Laporan Ketua Audit Negara bagi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk memberikan pandangan dan cadangan bagi terus memperbaiki sistem pentadbiran negara. Cadangan pindaan ini juga adalah selaras dengan inisiatif Kerajaan Menteri untuk menambah baik aspek tatakelola urusan pentadbiran Kerajaan,” katanya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.