Sanusi Tidak Perlu Jadi ‘Tok Dukun’, Walaupun Pemimpin Tidak Punya Pendidikan Tinggi – Adzly Manas

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Peguam yang juga aktivis politik dan masyarakat, Adzly Ab Manas mempertikaikan pandangan yang diberikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan bahawa pendidikan tinggi itu tidak perlu.

Tegasnya, tanpa pendidikan tinggi seseorang itu tidak boleh di panggil ‘intelek’ serta menjadi rujukan mahupun siasah kepada masyarakat.

“Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak perlu jadi ‘Tok Dukun’ untuk tentukan jampi bagaimana menjadi ahli politik berjaya di Malaysia walaupun tidak mempunyai pendidikan tinggi.

“Berpendidikan tinggi penting kerana pengalaman, disiplin dan peritnya mendapat segulung ijazah itu menjadikan seseorang lebih analitik, tidak mudah putus asa serta sabar mencari penyelesaian dalam menangani isu-isu rakyat.

“Seorang pemimpin harus bersyukur kepada Allah Taala kerana Allah telah memberi kejayaan (rezeki) dan peluang ini kepada pemimpin tersebut memimpin walaupun tiada kelulusan tinggi,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Perundangan, Perlembagaan dan Pilihan Raya berkata pemimpin yang tidak mempunyai pendidikan tinggi tapi boleh adaptasi dengan masyarakat juga adalah baik.

“Pemimpin yang tiada kelulusan namun berjaya tidak dinafikan mempunyai kebijaksanaan dalam membawa diri dalam politik atau dikenali sebagai ‘street smart’ (bijak bawa diri).

“Jika seorang pemimpin itu mempunyai pendidikan tinggi dan juga ‘street smart’ maka ini lebih baik dan senang didekati oleh semua golongan.”

Tegasnya lagi, harus diingat zaman kini rakyat Malaysia sudah ramai yang terpelajar maka sudah tentu mereka mahukan pemimpin yang berpendidikan tinggi dan berjiwa rakyat.

Terdahulu, Sanusi mengatakan kelayakan akademik bukan kriteria utama dalam menentukan kelayakan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, 56, dipilih mewakili gabungan itu, kerana terdapat ramai ahli politik di negara ini tidak memiliki ijazah sarjana atau doktor falsafah.

Ia susulan isu calon PN, Abidin Ismail yang didakwa hanya memiliki sijil ISO 14001 Bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin, pemegang ijazah doktor falsafah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit