Kerajaan Malaysia Bertegas Semua Award Dikeluar Dr Stampa Langgar Prinsip Polisi Awam Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kerajaan Malaysia bertegas bahawa semua award yang dikeluarkan oleh Penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa telah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa, khususnya kerana ia melibatkan pelanggaran prinsip diplomatic immunity, jurisdictional immunity and sovereignty.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said juga memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan Perancis telah membuat keputusan yang memihak kepada Kerajaan Malaysia dengan membatalkan Perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September 2021 tersebut atas alasan penimbang tara telah bertindak di luar bidang kuasanya.

“Mahkamah juga mendapati tiada peruntukan timbang tara yang sah dalam Perjanjian 1878 tersebut. Penuntut telah membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan Mahkamah Agung Perancis telah menetapkan 17 September 2024 sebagai tarikh pendengaran rayuan tersebut.

“Seterusnya di Luxembourg bagi Permohonan Kerajaan untuk mencabar Exequatur Order bertarikh 18 Mei 2022, pada 6 September 2022, Kerajaan telah memfailkan rayuan untuk mencabar Exequatur Order tersebut dan Mahkamah Luxembourg telah menetapkan tarikh akhir pengemukaan hujahan seterusnya oleh Penuntut pada 26 Jun 2024.

“Permohonan pihak Penuntut dalam menguatkuasakan Final Award di Belanda pula, Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Rayuan The Hague telah membuat keputusan yang memihak kepada Kerajaan dengan tidak mengiktiraf dan menguatkuasakan Final Award tersebut di Belanda. Penuntut telah merayu kepada Mahkamah Agung Belanda pada 27 September 2023 dan Mahkamah Agung dijangka akan membuat keputusan pada 25 Oktober 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung lanjutan kes berkenaan.

Berkenaan dengan garis masa, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata tiada garis masa khusus yang dapat dianggarkan memandangkan tindakan yang diambil oleh kerajaan melibatkan prosiding perundangan di negara-negara asing kerana prosiding perundangan tersebut adalah tertakluk kepada peruntukan dan tatacara perundangan yang terpakai di negara masing-masing.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan setakat ini, waris Sultan Sulu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Kerajaan Malaysia juga telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap tindakan oleh penuntut tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.