Tanamkan Nilai Hargai, Hormati Pejuang Lama Dalam UMNO – Hazulizah

SANDAKAN, 7 April – Generasi muda seharusnya tidak melupakan nilai ‘menghargai dan menghormati’ pemimpin kini dan terdahulu dalam memastikan negara terus berada di hadapan.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah Hazulizah Md Dani berkata, sekiranya tiada nilai itu, ia menunjukkan seolah-olah anak muda tidak pandai berterima kasih dan menghargai pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu yang mengangkat martabat UMNO sebagai parti keramat yang terlibat secara langsung dalam memerdekakan negara dari penjajah dan memainkan peranan penting dalam mengisi makna sebuah kemerdekaan negara.

“Sekiranya tiada mereka (pemimpin terdahulu), negara tidak akan membangun seperti sekarang, sebab itu kita sebagai anak muda perlu menghormati dan menghargai mereka yang menyumbangkan bakti buat negara,” kata beliau ketika ditemui selepas melakukan program ziarah kepada bekas-bekas pemimpin UMNO di kawasan Batu Sapi baru-baru ini.

Menurut Hazulizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi, generasi sekarang perlu menghargai nikmat dan jasa yang dicurahkan pemimpin UMNO terdahulu yang berjuang demi bangsa agama dan negara.

Beliau berkata, mereka sanggup mengorbankan masa tenaga malah, harta benda untuk mempertahankan parti keramat ini untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

“Kita adalah generasi yang kenang jasa. Kita tahu kita tidak akan ada di sini mengecapi nikmat kalau tidak kerana jasa tokoh-tokoh besar kita dahulu.

“Ini juga adalah peringatan kepada pemimpin-pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri positif yang baik daripada mereka dan tidak terheret dengan amalan seperti kacang lupakan kulit yang diamalkan sebilangan pemimpin UMNO yang sudah berhijrah ke lain parti.

“Kita menghormati demokrasi, mereka berhijrah hak mereka, tapi janganlah perlekeh dan hina parti yang telah memberikan nikmat kepada mereka sebelum ini,“ tegas Hazulizah.

Mengenai program tersebut Hazulizah berkata inilah pendekatan UMNO khususnya Wanita UMNO Bahagian Batu Sapi menghargai mereka yang pernah berjuang bersama dalam parti sebelum ini.

“Sempena bulan baik hari baik ini, apalagi kita akan menyambut kedatangan Aidilfitri, program ziarah ini selain bertanya khabar menghulurkan sedikit sumbangan kita mengharapkan program ini akan merapatkan lagi hubungan kasih sayang dan antara parti dengan mereka yang telah berjasa dan memberikan sumbangan terhadap parti,” katanya.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit