Jelajah Ramadan Pemuda UMNO Perlihat Muafakat Ahli Pelbagai Peringkat – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 5 April – Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin melahirkan rasa syukur dan bangga melihat semangat ahli pergerakan itu di pelbagai peringkat yang sentiasa bergerak ke akar umbi.

Malah beliau berkata, semangat yang ditunjukkan sepanjang Ramadan menerusi Jelajah Ramadan Pemuda UMNO memperlihatkan permuafakatan dan iltizam masing-masing. 

“Alhamdulillah, kita sepanjang bulan Ramadan ini ambil peluang menjelajah ke seluruh tanah air dalam program Jelajah Ramadan Pemuda UMNO Malaysia. Sehingga hari ini kita telah jelajah ke beberapa buah negeri dan saya lihat dari segi semangat dan juga gerak kerja yang dibuat oleh Pemuda bertambah baik.

“Kita tengok kelangsungan aktiviti-aktiviti dan ketegasan pimpinan dalam menyuarakan isu-isu yang dekat di hati rakyat. Begitu juga kita melihat keprihatinan pimpinan Pemuda dalam menyantuni setiap lapisan masyarakat, khususnya orang muda dan tidak ditinggalkan juga mereka yang lebih senior,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi perkembangan itu menunjukkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO bukan sahaja di peringkat Malaysia tetapi di peringkat negeri, bahagian dan cawangan bergerak dalam satu susunan yang baik.

“Itu adalah satu perkara yang positif yang dapat kita kenal pasti sepanjang jelajah kita hingga ke hari ini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit