Tunggakan Gaji Pemain KDA FC: Jangan ‘Kambing Hitamkan’ SPRM – Shaiful Hazizy
ALOR SETAR, 10 Feb – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi diminta untuk tidak ‘mengkambing hitamkan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas kegagalan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk membayar gaji pemain Kedah Darulaman (KDA) FC.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sememangnya KFA sudah culas membayar gaji pemain sebelum SPRM memanggil beberapa saksi untuk siasatan.
“Apabila media tanya tentang tunggakan gaji pemain, Menteri Besar yg merangkap sebagai Presiden KFA jawab ‘minta SPRM yg bayar’, kita sangat memahami apa maksud beliau, namun kehadiran setiap kalam tersebut sangat melukakan hati setiap peminat bolasepak negeri Kedah terutamanya pemain yang sedang tertekan akibat tunggakkan gaji yg sangat banyak.
“Kenapa nak salahkan SPRM? Setahu saya KFA memang dah culas bayar gaji sebelum SPRM panggil beberapa saksi utk siasatan, jangan ‘kambing hitamkan’ SPRM apabila KFA dan syarikatnya gagal tunaikan tanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok itu turut mempersoalkan mengenai perancangan perniagaan KDA FC yang dicanangkan sebelum ini.
“Apa dah jadi dengan perancangan perniagaan KDA FC? Dicanangkan sebelum ini dengan kehadiran tokoh perunding ekonomi timur tengah menjadi pemilik saham terbesar mampu membuatkan KDA FC berdiri sendiri menanggung secara total kos operasi dan gaji pemain serta pegawai skuad utama negeri Kedah? Kenapa CEO KDA FC letak jawatan dalam keadaan kewangan syarikat tengah gawat?
“Cantik sungguh bangunan pejabat baru KFA, namun saya sangat hairan, apa guna pejabat sangat cantik dan gah, tapi culas bayar gaji pemain, tak ada rasa malu ataupun bersalah? Kalau ada maruah jual saja pejabat tu, hasil jualan bayar saja berapa jua gaji pemain yang tertunggak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan KFA menangani masalah ini bakal memberi kesan kepada aksi pemain Bolasepak Negeri Kedah.
“Harus diingat, kegagalan KFA dan syarikat berkaitannya menangani masalah ini akan membuatkan aksi pemain negeri Kedah akan semakin pupus daripada radar liga bolasepak negara.
“Harus diingat juga, bolasepak ini sukan kegemaran al marhum Tuanku Sultan Kedah sebelum ini dan juga kekal kesayangan institusi beraja negeri, namun ianya gagal dijaga dan diuruskan dengan baik.
“Akhir sekali saya nak tanya dimana disalurkan kepakaran dan pemahaman exco sukan negeri yang bertaraf lagenda itu? Dah lepas tangan? Ataupun hanya pandai main bola namun bab pengurusan ke laut? Semuanya serba tak kena, yang jadi mangsa akhirnya pemain yg menabur keringat dan bakti, wallahualam,” katanya lagi. – UMNO Online